Syarikat Kanada diingatkan hati-hati dalam urusan perdagangan di Myanmar
Bernama
April 14, 2021 12:49 MYT
April 14, 2021 12:49 MYT
TRENTON (Kanada): Kerajaan Kanada pada Selasa mengeluarkan amaran kepada syarikat di negara ini supaya harus menghormati sekatan, kawalan eksport dan memastikan "standard hak asasi manusia yang tinggi" ketika berurusan dengan syarikat Myanmar.
Amaran itu dikeluarkan ekoran rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu yang menggulingkan pemimpin de facto Aung San Suu Kyi dan anggota parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).
Kanada bergabung dengan Britain dan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap sembilan pegawai tinggi tentera Myanmar, lapor Anadolu.
Setakat ini, Kanada telah mengenakan sekatan kepada 54 individu dan 44 entiti (syarikat).
"Kanada berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan usaha mereka untuk mengembalikan demokrasi," kata Menteri Luar Marc Garneau dalam satu kenyataan.
Beliau berkata syarikat Kanada harus bertindak berdasarkan peraturan panduan yang sama ketika berurusan dengan entiti Myanmar seperti ketika berniaga di dalam negara.
Sementara itu Global Affairs Kanada berkata syarikat yang beroperasi di Myanmar harus menilai operasi, mematuhi langkah sekatan dan kawalan eksport, menjunjung tinggi hak asasi manusia dan tingkah laku perniagaan yang bertanggungjawab.
-- BERNAMA
#Aung San Suu Kyi
#Myanmar
#Britain
#Amerika Syarikat
#tentera
#kerajaan
#sekatan
#Marc Garneau
#Kanada
#syarikat
#Peraturan