Syarikat Jepun perkenal mesin layan diri jual daging paus, cetus bantahan aktivis
Agensi
Januari 30, 2023 12:19 MYT
Januari 30, 2023 12:19 MYT
YOKOHAMA: Syarikat pengendali bekalan daging paus di Jepun menemui kaedah terbaharu untuk meningkatkan senarai pelanggan dan juga nilai jualan.
Meskipun terus menerima bantahan daripada aktivis haiwan dan ahli konservasi, syarikat itu kini menjalankan transaksi jualan menerusi mesin jualan layan diri, lapor AP.
Kyodo Senpaku Co. baru-baru ini memperkenal produk berasaskan paus di bandar Yokohama, dengan menempatkan mesin jualan layan diri. Mesin itu menjual produk seperti sashimi paus, kepingan (bakon) paus, kulit paus dan stik paus serta daging paus dalam tin.
Harga bagi produk-produk berkenaan adalah antara 1,000 hingga 3,000 Yen (RM33 hingga RM100).
Mesin layan diri itu mudah dikenali dengan warna putih dengan dihiasi imej paus dalam bentuk kartun. Mesin ketiga mula beroperasi pada Selasa di Yokohama, selepas dua buah mesin dilancarkan di Tokyo pada awal tahun ini.
Daging paus sudah lama menjadi kontroversi di Jepun, akibat pertembungan pandangan - antara aktiviti warisan tradisi dengan kesedaran tentang impak pemburuan hidupan marin itu.
Protes antipemburuan paus mula berkurangan sejak tahun 2019 apabila Jepun memansuhkan pemburuan atas nama penyelidikan mamalia laut itu di Laut Antartika dan meneruskan pemburuan komersial di luar perairan Jepun.
Pakar konservasi bimbang langkah jualan secara layan diri itu menjadi pencetus kepada aktiviti pemburuan yang lebih besar.
“Isunya di sini bukan mesin layan diri itu, namun apa yang boleh terjadi selepas ini,” tegas Nanami Kurasawa dari Iruka & Kujira (dolfin dan paus) Action Network.
Kurasawa menambah, syarikat berkenaan sudahpun memulakan langkah untuk menangkap lebih banyak paus dengan meluaskan zon pemburuan.
Kyodo Senpaku dalam strateginya bagaimanapun berharap dapat menempatkan mesin jualan layan diri di 100 lokasi di seluruh Jepun dalam tempoh lima tahun. Mesin keempat sedia dilancarkan di Osaka bulan depan.
Idea menggunakan mesin jualan layan diri itu adalah berikutan keengganan pasar raya menjual produk berkenaan. Pengusaha rangkaian pasar raya sebelum ini bimbang jika jualan itu dibenarkan, mereka akan menerima boikot dan protes daripada kumpulan antipemburuan.