Syarikat induk Google kini kembali bernilai lebih AS$2 trilion
Amanz
April 27, 2024 12:15 MYT
April 27, 2024 12:15 MYT
ALPHABET, syarikat induk disebalik Google kini sekali lagi berjaya mencapai nilai pasaran semasa melangkaui AS$2 trilion. Ketika artikel ini ditulis, nilai semasa saham memperlihatkan Alphabet bernilai sekitar AS$2.15 trilion.
Perkara ini sekali gus meletakkan Alphabet atau Google di tangga keempat syarikat paling bernilai di dunia.
Saudi Aramco berada di tangga kelima dengan nilai kurang AS$2 trilion. Mendahului Google adalah NVIDIA, Apple dan juga Microsoft pada tangga paling teratas. Microsoft mempunyai nilai pasaran semasa mencapai lebih AS$3 trilion.
Google memperlihatkan peningkatan positif pada nilai saham, selepas mengumumkan dividen buat pertama kali, selain mengumumkan penyata kewangan yang lebih baik daripada dijangka.
Pendapatan Google daripada pengiklanan terus meriah, selain pelaburan mereka dalam arena kecerdasan buatan juga menjadi salah satu perbualan ramai kebelakangan ini. - Amanz