Sweden tidak puas hati Donald Trump 'reka' insiden keselamatan
Agensi
Februari 20, 2017 10:04 MYT
Februari 20, 2017 10:04 MYT
Kedutaan Sweden di Washington telah meminta Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menjelaskan tentang komen daripada Presiden Donald Trump yang seolah-olah menggambarkan insiden berkaitan keselamatan terjadi di Sweden pada Jumaat.
Trump berucap dalam satu rapat umum di Florida pada Sabtu dan ketika mengulas tentang keperluan memastikan AS terus aman dan selamat, dia berkata: “Lihatlah apa yang berlaku di Jerman. Anda lihat apa yang berlaku malam tadi di Sweden.
“Sweden. Siapa yang tidak tekejut? Sweden. Mereka menahan ramai orang. Mereka sedang berdepan masalah yang tidak pernah dijangkakan.”
Trump bagaimanapun tidak memperincikan tentang ‘hal di Sweden' yang dikatakannya itu, yang membuatkan ramai rakyat Sweden terpinga-pinga kerana tiada perkara yang melibatkan isu keselamatan dilaporkan di negara Scandinavia itu.
“Kami telah bertanyakan tentang perkara itu kepada Jabatan Negara. Kami sedang cuba mendapatkan pencerahan,” ujar jurucakap Kementerian Luar Sweden Catarina Axelsson.
Rakyat Sweden mula mempersenda Trump di media sosial dengan hashtag #LastNightInSweden. Antara yang lucu adalah apabila salah seorang pengguna Twitter melampirkan gambarajah manual pemasangan perabot IKEA dengan mesej: “Mungkin inilah plot perancangan rahsia serangan keganasan di Sweden.”
Sementara itu, penulis novel bertaraf bilionair JK Rowling turut berjenaka tentang perkara itu dengan menggunakan hashtag #MakeBiscuitDryAgain (Keringkan semula Biscuit) di akaun Twitternya.
Biscuit adalah nama seekor kuda yang diselamatkan selepas terjatuh ke dalam sebuah telaga, dan insiden tersebut adalah satu-satunya kejadian ‘besar’ yang berlaku di Sweden pada Jumaat, dan bukannya ancaman keganasan.