Sweden mahu hantar balik 80,000 pelarian, permohonan suaka ditolak

Agensi
Januari 28, 2016 10:58 MYT
Sekumpulan pelarian yang mengharap perlindungan suaka berkumpul di hadapan bangunan agensi yang menguruskan pelarian di bandar Malmo, Sweden pada November 2015. - Gambar fail
Sweden akan menghantar balik 80,000 pelarian yang memasuki negara itu pada 2015 dan permohonan suaka mereka juga tidak ditolak, kata Menteri Dalam Negeri negara itu, Anders Ygeman, pada Rabu.
Beliau berkata, kerajaan telah mengarahkan pihak polis untuk mengatur proses penghantaran balik tersebut.
Langkah itu diumumkan semasa Eropah sedang berusaha untuk menangani krisis yang menyaksikan puluhan ribu pelarian tiba di pantai Greek, dengan kebanyakannya melarikan diri daripada konflik di Syria , Iraq dan Afghanistan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, seramai 46,000 orang telah tiba di Greece tahun ini dan 170 orang terbunuh semasa dalam perjalanan laut.
Ygemen berkata, proses penghantaran balik yang biasanya dilakukan dengan pesawat komersil, akan dijalankan melalui pesawat sewaan khas memandangkan jumlah orang yang ramai.
Sweden, yang dihuni seramai 9.8 juta orang, adalah salah satu daripada negara-negara Kesatuan Eropah yang telah menerima pelarian dalam bilangan terbesar.
Negara itu turut menerima lebih daripada 160,000 permohonan suaka tahun lepas. Namun kini, puluhan ribu akan dihantar pulang, sama ada secara sukarela atau dipaksa.
Bilangan ketibaan pelarian bagaimanapun telah menurun secara mendadak sejak Sweden memperkenalkan sistem pemeriksaan pengenalan foto sistematik ke atas pelancong pada 4 Januari lalu.
Ia diperkenalkan ekoran kejadian seorang pekerja di sebuah pusat pelarian ditikam dan pembunuhannya membawa persoalan tentang keadaan yang sesak di pusat-pusat seumpamanya selain terdapat hanya sedikit pekerja untuk menjaga mereka.
#hantar balik #pendatang asing #Sweden
;