Sweden iktiraf negara Palestin
AFP
Oktober 30, 2014 19:41 MYT
Oktober 30, 2014 19:41 MYT
Sweden pada Khamis secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, sebulan selepas kerajaan republik itu mengumumkan hasratnya untuk berbuat demikian, kata menteri luarnya di Stockholm.
"Hari ini kerajaan mengambil keputusan mengiktiraf negara Palestin," kata Menteri Luar Sweden, Margot Wallstrom dalam satu kenyataan yang disiarkan di akhbar Dagens Nyheter.
"Ini adalah langkah penting yang mengesahkan hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri," katanya dan menambah "kami berharap ini akan menunjuk jalan kepada yang lain."
Perdana Menteri Sweden, Stefan Loefven dalam ucapan sulungnya di Parlimen selepas memegang jawatan pada awal Oktober lalu berkata negaranya akan jadi anggota Kesatuan Eropah yang pertama di Eropah Barat yang akan mengiktiraf negara Palestin.
Pengumuman Sweden itu disambut baik oleh Palestin. Israel bagaimanapun memanggil Duta Sweden ke Tel Aviv untuk merakamkan bantahan dan menyatakan rasa kesal.
Israel mempertahankan pendirian bahawa Palestin hanya boleh mendapat pengitirafan sebagai negara melalui rundingan lansung dan bukannya melalui saluran diplomatik yang lain.
Tujuh negara anggota EU di Eropah Timur dan Meditterannean sebelum ini telah melakukan langkah yang sama iaitu Bulgaria, Cyprus, Republik Czech, Hungary, Malta, Poland dan Romania. Iceland yang bukan negara anggota Eu adalah satu-satunya negara di Eropah Barat yang telah membuat pengiktirafan sama.
Amerika Syarikat sebelum ini memberi amaran kepada Sweden langkah mengiktiraf Palestin bersifat "pramatang" dan menegaskan negara Palestin hanya boleh dibentuk melalui rundingan antara Israel dan Palestin.
Dalam pengumuman pengiktirafan itu, menteri luar Sweden berkata "kerajaan menganggap kriteria undang-undang antarabangsa untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin telah dipenuhi."