Sweden ambil alih kepimpinan EU, tumpu 'Eropah yang lebih selamat'
Bernama
Januari 1, 2023 23:32 MYT
Januari 1, 2023 23:32 MYT
STOCKHOLM: Sweden mengambil alih jawatan presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) daripada Republik Czech pada Ahad, menjadikan negara Scandinavia itu sebagai pimpinan utama dan pengantara di Brussels dalam tempoh enam bulan akan datang.
"Sweden mengambil alih jawatan Presiden ketika Kesatuan itu berhadapan cabaran bersejarah," Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Perdana Menteri Ulf Kristersson sebagai berkata pada pertengahan Disember.
Dalam kenyataan di laman sesawangnya beliau memetik perang Ukraine, perjuangan menangani perubahan iklim dan daya saing Eropah, sebagai isu utama yang perlu ditangani.
Keutamaan Sweden adalah untuk memberi tumpuan kepada "Eropah yang lebih hijau, lebih selamat dan lebih bebas."
Kristersson dan kabinetnya secara relatif merupakan wajah yang belum dikenali di pentas EU.
Kerajaan konservatif itu baru sahaja memegang jawatan selama kira-kira dua setengah bulan, menggantikan pemimpin Demokrat Sosial Magdalena Andersson.
Kristersson ialah ketua kerajaan Sweden pertama yang pernah bekerjasama rapat dengan populis sayap kanan Demokrat Sweden.
Golongan populis tidak berada dalam kerajaan, namun sebagai kuasa parlimen kedua terkuat dan dengan lebih banyak kerusi daripada parti Kristersson, The Moderates masih memiliki kuasa yang besar di Stockholm.
Walaupun skeptisisme parti sokongan ini ke atas EU, Menteri EU Sweden Jessika Roswall mengisytiharkan bahawa kerajaannya "akan memberikan keutamaan yang tinggi kepada peranannya dalam EU.
Dua puluh tujuh ahli EU menggilirkan jawatan presiden setiap enam bulan.
-- BERNAMA