Suu Kyi muncul buat kali pertama di mahkamah sejak rampasan kuasa
Bernama
Mei 24, 2021 20:30 MYT
Mei 24, 2021 20:30 MYT
JAKARTA: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi hadir ke mahkamah pada Isnin, penampilan pertamanya di khalayak sejak ditahan berikutan rampasan kuasa tentera Februari lalu, menurut Anadolu memetik media tempatan.
Sebelum perbicaraan bermula, beliau hanya dibenarkan bercakap dengan peguamnya menerusi pautan video di hadapan anggota keselamatan.
Suu Kyi berkata "Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) ditubuhkan untuk rakyat dan ia akan terus wujud selagi rakyat masih ada." NLD parti pimpinannya telah dibubarkan junta tentera.
Tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari dengan menggulingkan kerajaan Suu Kyi yang dipilih rakyat.
Beliau dan beberapa pemimpin NLD antara lebih 4,000 orang yang ditahan sejak rampasan kuasa.
Suu Kyi berdepan tuduhan-tuduhan memiliki radio walkie-talkie secara haram dan melanggar undang-undang rahsia negara.
Sejak itu, tunjuk perasaan pro-demokrasi meletus di bandar-bandar di seluruh Myanmar.
Sehingga Ahad, Persatuan Bantuan Tahanan Politik melaporkan 818 orang telah dibunuh pasukan keselamatan Myanmar.
-- BERNAMA