Suu Kyi dihukum penjara 3 tahun atas penipuan ketika pilihan raya
Bernama
September 2, 2022 04:00 MYT
September 2, 2022 04:00 MYT
ANKARA: Mahkamah junta Myanmar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Aung San Suu Kyi atas tuduhan melakukan penipuan dalam pilihan raya, lapor media tempatan pada Jumaat.
Pemimpin yang digulingkan itu disabitkan bersalah atas dakwaan menipu ketika pilihan raya oleh Majlis Perang Melawan Keganasan, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan Khit Thit Media.
Bulan lalu, mahkamah junta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun kepada bekas Kaunselor itu.
Dia sebelum ini disabitkan dengan enam pertuduhan lain pada Disember, Januari dan April.
Suu Kyi sehingga ini disabitkan dengan hukuman penjara yang tempohnya berjumlah 20 tahun selepas tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari tahun lalu.
Pada Jun lepas, rejim tentera memindahkannya ke penjara dan menempatkannya dalam kurungan perseorangan.
Selepas rampasan kuasa pada 24 Feb 2021, Suu Kyi telah menjalani hukuman tahanan di rumah sehingga April lepas, dan kemudian dipindahkan ke lokasi yang tidak diketahui tetapi dipercayai Penjara Naypyitaw.
Dia menghadapi berpuluh pertuduhan, termasuk rasuah, dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada April.
Kerajaan Suu Kyi telah digulingkan pada 1 Feb 2021 dalam rampasan kuasa tentera selepas memenangi pilihan raya kebangsaan pada November 2020.
Orang ramai mengecam tindakan penyingkiran dan rampasan kuasa oleh tentera.
Sejak itu, junta telah membunuh lebih 1,500 orang yang menentang pemerintahan junta, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, sebuah kumpulan pemantau tempatan.
-- BERNAMA