Susulan rusuhan, rakyat Malaysia di Jakarta dinasihat elak kawasan ini
Nailah Huda
Mei 22, 2019 13:29 MYT
Mei 22, 2019 13:29 MYT
Susulan pengumuman Joko Widodo atau Jokowi sebagai pemenang pilihan raya Presiden Indonesia (PilPres), rusuhan tercetus di sekitar bangunan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) di Jakarta.
Menurut Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengelak kawasan-kawasan terjejas dan mengikuti perkembangan terkini melalui laporan media tempatan.
Antara kawasan terjejas adalah seperti yang berikut:
- Bangunan Komisi Pemilihan Umum (KPU) di Jalan Imam Bonjol
- Bangunan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) di Jalan M.H. Thamrin
- Sekitar kawasan Tanah Abang, Thamrin, Sabang dan Menteng
Rakyat Malaysia yang berada di Jakarta atau merancang untuk berkunjung ke Indonesia dinasihatkan agar mendaftar dengan kedutaan menerusi borang pendaftaran di goo.gl/ixYVfy.
Sekiranya memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Indonesia boleh dihubungi menerusi talian +62215224947 atau +6281380813036.
Setakat jam 9 pagi waktu tempatan, enam disahkan maut manakala 200 lagi cedera akibat ketegangan yang melanda di ibu kota Jakarta, kata Gabenor Anies Baswedan kepada stesen televisyen tempatan.
Polis Indonesia terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang dilapor bertindak ganas termasuk membaling mercun ke arah anggota polis.
Lebih 50,000 anggota polis dan tentera dikerahkan ke kawasan terjejas bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.
KPU republik tersebut mengumumkan kemenangan Jokowi pada Selasa, iaitu sehari lebih awal dari yang dijadualkan selepas proses pengiraan undi di 813,350 pusat pengundian selesai jam 11.30 malam Isnin lalu.