Suspek utama letupan gereja Filipina serah diri
Astro Awani
Februari 4, 2019 19:03 MYT
Februari 4, 2019 19:03 MYT
Lima individu, termasuk suspek utama insiden letupan berkembar maut yang melanda selatan Filipina lewat bulan lepas, telah menyerah diri kepada pihak berkuasa Filipina di Jolo minggu lalu.
Menurut laporan CNN Philippines pada Isnin yang memetik kenyataan Ketua Polis Kebangsaan Filipina (PNP), Oscar Albayalde, mereka dikenal pasti sebagai Albaji Kisae Gadjali atau Awag, Rajan Bakil Gadjali (Radjan), Kaisar Bakil Gadjali (Isal), Salit Alih (Papong) dan diketuai oleh Kammah Pae atau Kamah.
Kelima-lima mereka disyaki anggota Ajang Ajang, sebuah kumpulan serpihan Abu Sayyaf yang telah berjanji setia menyokong Daish.
Albayalde berkata, kesemua suspek akan didakwa di mahkamah dengan membunuh, walaupun Kamah menafikan penglibatannya dalam insiden pengeboman gereja Katolik, Our Lady of Mount Carmel di Jolo, selatan wilayah Sulu, pada 27Jan lalu.
Serangan tersebut dilaporkan telah meragut 23 nyawa dan mencederakan 95 orang – 14 anggota tentera, dua pegawai polis, dua pengawal pantai dan 77 orang awam.
Albayalde berkata, kelima-lima suspek yang menyerah diri adalah antara 22 anggota Abu Sayyaf yang dipercayai bertanggungjawab dan berkomplot untuk membuat serangan ke atas gereja terbabit.
Katanya, polis masih sedang mengesan 14 lagi suspek termasuk komander Abu Sayyaf, Hatib Hajan Sawadjaan, selepas tiga anggota kumpulan militan itu, termasuk dua pengebom bunuh diri, maut dalam insiden gereja tersebut.
Sebelum ini, Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Filipina, Eduardo Año mendakwa, dua pengebom bunuh diri terbabit dipercayai warga Indonesia.
Namun, Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan Indonesia, Wiranto, berkata ia terlalu awal dalam siasatan untuk mengenal pasti warganegara mereka.