Suspek tembakan rambang 'Pesta Bawang' gesa pengikut baca buku 'white supremacist'

Astro Awani
Julai 30, 2019 12:57 MYT
Pasukan polis mengangkat bahan bukti dari rumah keluarga Legan pada Isnin, pada 29 Julai. - AP
SUSPEK kes tembakan rambang semasa Pesta Bawang Putih Gilroy, di California, Amerika Syarikat pada Ahad lalu, menggesa pengikutnya di Instagram untuk membaca sebuah buku abad ke-19 yang terkenal dengan idea white supremacist (ketuanan kulit putih) di laman web ekstremis.
Bagaimanapun sehingga kini pada Isnin, suspek yang dikenali sebagai Santino William Legan, 19, masih belum mendedahkan motifnya yang menembak mati dua kanak-kanak serta seorang lelaki.
Menurut laporan Associated Press, laman Instagram Legan menyiarkan sebuah buku berjudul Might is Right, yang mendakwa bangsa menentukan tingkah laku. Ia disertai sekeping gambar Smokey the Bear di hadapan penanda ‘bahaya kebakaran’, selain mengadu tentang bandar yang penuh sesak lantaran membuka ruang kepada gerombolan masyarakat Latin dan kulit putih Lembah Silikon.
Dalam laman Instagramnya, Legan sempat memuat naik gambar Pesta Bawang Putih Gilroy, beberapa minit sebelum menembak secara rambang ke arah segerombolan pengunjung menggunakan senjata api jenis AK47, membunuh tiga mangsa dan mencederakan 11 yang lain.
Gambar tersebut turut disertai dengan kapsyen 'Ayyy garlic festival time' (ayyyy masa untuk festival bawang putih) dan 'Come get wasted on overpriced (items)' (Datang untuk berbelanja pada harga terlalu mahal). Legan menutup akaun Instagramnya selepas itu.
Hantaran Instagram tersebut merupakan maklumat pertama yang diperoleh mengenai Legan oleh pihak berkuasa susulan selepas kejadian tersebut.
Selepas menembak orang ramai secara rambang, peronda polis yang berada di tempat kejadian bergegas ke tempat kejadian. Sejurus Legan menyerahkan senjatanya kepada polis, dia terus ditembak mati.
Suspek telah membeli senjata tersebut secara sah pada bulan ini di Nevada. Jika diikutkan, suspek tidak boleh membeli senjata di California kerana senjata api hanya dibenarkan kepada 21 tahun ke atas, manakala Nevada 18 tahun ke atas.
#Amerika Syarikat #Buku #Calafornia #ekstremis #Instagram #Kanak-kanak #Laman web #Might is Right #Pesta Bawang Putih Gilroy #Santino William Legan #senjata AK-47 #tembakan rambang #white supremacist
;