Suspek tembakan rambang pasar raya Kroger dikenal pasti
Astro Awani
September 24, 2021 07:05 MYT
September 24, 2021 07:05 MYT
COLLIERVILLE: Suspek yang melepaskan tembakan rambang di sebuah pasar raya Tennessee pada Khamis dikenal pasti sebagai Uk Thang, seorang pembekal ke premis tersebut.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa maut manakala 15 lagi cedera. Tiga daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Mangsa dikenal pasti sebagai Olivia King, seorang ibu tunggal dengan tiga anak.
Suspek Uk Thang, 29, menembak dirinya sendiri selepas melepaskan tembakan secara rambang di pasar raya Kroger di Jalan New Byhalia, di sini.
Menurut Ketua Polis Dale Lane, mangsa terdiri daripada 10 pekerja dan lima pelanggan, lapor NBC News.
Lane bagaimanapun enggan mendedahkan motif pertumpahan darah pada Khamis itu.
"Kami sudah dapat gambaran tentang motifnya, tetapi saya belum bersedia untuk memaklumkannya ketika ini.
"Kami perlu memastikan tidak melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan siasatan ini," kata Lane kepada NBC News .
Tambah Lane, dia tidak pernah melihat kejadian seburuk itu.
"Kami tiba di tempat kejadian dan ia perkara terburuk yang pernah saya lihat dalam 34 tahun," kata Lane.
Lane menggambarkan suasana kucar-kacir dengan pengunjung bersembunyi di setiap sudut kedai.
Saluran berita wreg.com dalam laporannya bagaimanapun memetik saksi yang mendakwa Thang bekerja di bahagian sushi.
Malah seorang pekerja Kroger, Lawanda Clark berkata ada mendengar pengurus bercakap tentang memecat Thang pada malam sebelumnya.
“Mereka terpaksa bawa keluar lelaki itu pagi semalam. Saya rasa dalam pukul 9 pagi,” kata Clark.
Clark menggambarkan Thang sebagai seorang yang pendiam, hanya bercakap dengan pekerja bahagian sushi dan kadang-kadang bertengkar dengan rakan sekerja yang lain.
"Saya tidak banyak berbual dengannya.
"Saya rasa dia suka menyendiri. Ada orang kata dia tidak suka orang bercakap dengannya," kata Clark.
Seorang bapa mendakwa menerima panggilan daripada anaknya ketika kejadian.
"Ada penembak di kedai dan saya telah ditembak."
Seorang lagi saksi, Vivian Harris berkata dia terserempak dengan Thang di kedai Kroger lain di Whitehaven awal hari itu.
"Dia nampak macam tidak gembira. Tapi tak nampak pula dia marah.
"Tetapi dia agak teruja apabila saya bercakap dengannya tentang sushi,” kata Harris.
Dua jam kemudian, Thang dilapor menembak secara rambang di premis tersebut.
Polis memaklumkan bahawa Thang tidak mempunyai sejarah jenayah ganas dan hanya beberapa kesalahan.
Jenayah | Dua maut, 13 cedera tembakan rambang di pasar raya