Suspek tembak mati enam mangsa di Philadelphia diburu

APTN
Disember 16, 2014 13:13 MYT
Bradley William Stone dipercayai melarikan diri sebelum pasukan SWAT merempuh masuk ke rumahnya. - Foto AP
Polis masih memburu suspek kes tembak di pinggir bandar Philadelphia yang mengorbankan enam mangsa, termasuk bekas isteri dan anak saudaranya yang berusia 14 tahun.
Bradley William Stone dipercayai melarikan diri sebelum pasukan SWAT merempuh masuk ke rumahnya.
Polis hanya menemui telefon bimbit dan kereta milik suspek.
"Buat masa ini, kami tidak tahu suspek dimana. Kami tidak mempunyai maklumat lanjut. Kami berjaya mengesan kenderaan dan telefon bimbit suspek.
"Namun, kami tidak mempunyai maklumat lanjut bagaimana dia bergerak," kata pegawai polis berkenaan.
Berdasarkan laporan, suspek kini sedang dalam perbicaraan menuntut hak jagaan dua orang anak bersama bekas isterinya.
Inisden tembakan bermula di rumah kakaknya di Souderton dan berakhir kira-kira 90 minit kemudian di pangsapuri bekas isterinya, Nicole Stone di Harleysville.
Dalam serangan itu, kakak Nicole, Patricia Flick, suaminya, Aaron Flick, dan anak perempuan mereka, Nina Flick, 14, terbunuh.
Manakala, anak lelaki mereka, Anthony Flick, 17, berjaya melarikan diri dengan kecederaan di kepala.
Sementara itu, ibu dan nenek Nicole juga maut ditembak suspek dirumah mereka di Lansdale.
Menurut jiran, dia terjaga kira-kira jam 5 pagi selepas terdengar bunyi cermin pecah dan tembakan lantas menghubungi polis.
Kedua-dua anak suspek dan mangsa bagaimanpun selamat.
Mengikut rekod mahkamah, Bradley, 35, dan Nicole, 33, berkahwin pada tahun 2004 dan memfailkan tuntutan cerai pada bulan Mac 2009.
Bradley berkahwin semula tahun lalu dan Nicole pula telah bertunang.
#Bradley William Stone #bunuh #Philadelphia #SWAT