Suspek tembak jatuh MH17 ditahan di timur Ukraine
Agensi
Mei 15, 2020 13:11 MYT
Mei 15, 2020 13:11 MYT
SALAH seorang suspek utama yang dituduh menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) ditahan di timur Ukraine atas tuduhan berbeza ketika perbicaraan bermula pada Mac lalu, menurut laporan BBC Rusia pada Khamis.
Bekas komander lapangan, Leonid Kharchenko, 47, merupakan satu-satunya warga Ukraine yang dituduh bersama tiga suspek lain yang dinamakan dalam siasatan oleh Pasukan Penyiasat Bersama Antarabangsa (JIT) diketuai Belanda.
Mereka dituduh bertanggungjawab atas tragedi yang membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat MH17 pada Julai 2014.
Tiga suspek lain merupakan warga Rusia, iaitu Sergei Dubinsky, Oleg Pulatov dan Igor Girkin.
Semua suspek terbabit sebelum ini dijangka dibicarakan tanpa kehadiran mereka di hadapan hakim.
Memetik laporan BBC Rusia, pihak berkuasa pro-Rusia di Donetsk telah menahan Kharchenko berhampiran rumahnya pada 11 Mac.
Dia dilaporkan dituduh memiliki senjata api tanpa kebenaran.
Bekas anggota tentera seangkatannya percaya bahawa dakwaan terhadap Kharchenko adalah tidak munasabah dan berlebihan.
Sebelum ini, Kharchenko pernah dituduh atas kesalahan menubuhkan kumpulan pengganas pada 2015 oleh pihak berkuasa Ukraine, yang terlibat dalam konflik dengan Rusia sejak enam tahun lalu.
Menurut laporan, Kharchenko ditahan di sebuah pusat tahanan di Donetsk dan tempoh tahanannya telah dilanjutkan selama dua bulan sejak Jumaat lalu.
Hakim pada pendengaran kes di Belanda pada Mac menangguhkan perbicaraan kes MH17 sehingga 8 Jun untuk memberi ruang bagi persiapan pihak peguam bela.
#Belanda
#Donetsk
#Igor Girkin
#JIT
#Leonid Kharchenko
#Malaysia Airlines
#MH17
#Oleg Pulatov
#Rusia
#Sergei Dubinsky
#Ukraine