Suspek serangan di masjid Quebec City didakwa
Agensi
Januari 31, 2017 08:41 MYT
Januari 31, 2017 08:41 MYT
Seorang penuntut universiti warga Kanada berketurunan Perancis menjadi suspek tunggal dalam insiden tembakan di masjid yang juga pusat kebudayaan Islam di Quebec City dan kini berdepan dakwaan membunuh enam orang, ujar pihak berkuasa Kanada pada Isnin.
Reuters melaporkan, mahkamah telah mengenal pasti penyerang itu sebagai Alexandre Bissonnette, 27, dan mendakwanya dengan enam pertuduhan bunuh dan lima pertuduhan cubaan membunuh dengan senjata.
Bissonnette telah dibawa ke mahkamah dalam seragam tertuduh dan dikawal ketat.
Pihak pendakwa raya bagaimanapun menyatakan bahawa bahan bukti belum dapat disediakan sepenuhnya, dan Bissonnette akan dihadapkan sekali lagi ke mahkamah untuk perbicaraan pada 21 Februari nanti.
Tiada pertuduhan dibacakan dan Bissonnette juga tidak mengemukakan rayuan.
“Pendakwaan yang dibuat nanti adalah berdasarkan bukti,” ujar wakil pejabat pendakwa raya, Thomas Jacques, apabila ditanya sebab Bissonnette tidak didakwa atas kesalahan berkaitan keganasan.
Antara enam mangsa yang terkorban ialah seorang penjual, profesor universiti, ahli farmasi dan akauntan.
Kerajaan Guinea dalam satu kenyataan berkata, dua rakyatnya adalah antara yang maut dalam serangan itu.
Pihak polis setakat ini enggan mendedahkan motif serangan itu, yang disifatlkan sebagai 'serangan pengganas' oleh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.