Suspek serangan di Kanada ditemukan mati dipercayai dibunuh adik sendiri
Astro Awani
September 6, 2022 08:40 MYT
September 6, 2022 08:40 MYT
OTTAWA: Pihak berkuasa Kanada pada Isnin menemukan mayat salah seorang suspek dalam kejadian serangan rambang di Saskatchewan.
Damien Sanderson, 31, ditemukan mati di kawasan berumput di James Smith Cree Nation, dipercayai dibunuh adiknya sendiri yang memiliki rekod jenayah kekerasan.
Menurut jurucakap polis, seorang lagi suspek masih bebas dan dipercayai cedera, lapor Reuters.
Damien dan adiknya Myles Sanderson, 30, disyaki membunuh 10 mangsa dan mencederakan 18 yang lain dalam insiden tikaman di komuniti orang asli pada Ahad.
Polis berkata beberapa mangsa dipercayai menjadi sasaran, manakala yang lain dilakukan secara rambang.
Mangsa termasuk seorang ibu kepada dua anak, duda berusia 77 tahun dan pegawai perubatan.
Dengan perkembangan terbaharu ini, jumlah kematian insiden itu meningkat kepada 11 dengan 19 cedera.