Suspek rogol tiru cara doktor tenangkan pesakit

Sinar Harian
Julai 19, 2018 07:59 MYT
Seramai 17 lelaki ditahan pihak berkuasa India atas dakwaan menoda seorang gadis berusia 11 tahun selama beberapa minggu. Foto Sinar Harian
Salah seorang daripada 17 suspek rogol budak perempuan berusia 11 tahun di Chennai, didapati menggunakan ubat penenang wanita bersalin bagi menundukkan mangsa.
Polis berkata, suspek yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hospital, belajar menggunakan ubat pelali itu ketika melihat ia digunakan bagi menenangkan wanita bersalin.
Tambah polis, ia punca mangsa tidak melawan dan merelakan dirinya dirakam semasa kejadian pertama.
"Mangsa kemudian diugut dan sejak itu dia dirogol berulang kali oleh suspek serta 16 rakan lelaki terbabit selama beberapa minggu," kata polis.
Difahamkan, kes tersebut terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian rogol itu kepada keluarganya yang bertindak melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Kes berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai selepas ia tersebar dan menuntut kesemua suspek dijatuhi hukuman berat.
India mempunyai rekod buruk kesalahan jenayah seksual, di mana 19,000 serangan ke atas kanak-kanak dicatatkan pada tahun 2016, namun dipercayai jumlah kes yang tidak dilaporkan adalah lebih tinggi.
Januari lalu, negara itu digemparkan dengan kematian seorang budak berusia lapan tahun selepas diculik, diberi dadah dan dinoda beramai-ramai selama berhari-hari di sebuah kuil.
Kes terbabit membawa kepada pengenalan hukuman mati untuk kesalahan menodai gadis di bawah umur 12 tahun. - Agensi
#11 tahun #17 lelaki #Chennai #Hospital #India #jenayah #Kanak-kanak #mangsa #polis #rogol #suspek #ubat pelali #ubat penenang
;