Suspek rogol bunuh Zainab ditahan, bapa mahu 'binatang' itu dihukum mati

Astro Awani
Januari 23, 2018 22:42 MYT
Mayat Zainab ditemui dalam keadaan menyayat hati di tempat pembuangan sampah, beberapa hari selepas kehilangannya. - Gambar Twitter @ImranKhanPTI
Selepas hampir sebulan, kes bunuh dan rogol Zainab Ansari mencetuskan api kemarahan di Pakistan, individu disyaki pelaku jenayah itu berjaya ditahan pihak berkuasa.
Suspek yang dikenali sebagai Mohammed Imran diberkas berdekatan bandar Kasur, lokasi kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dibunuh awal bulan ini.
Mayat Zainab ditemui dalam keadaan menyayat hati di tempat pembuangan sampah, beberapa hari selepas kehilangannya dilaporkan.
Rakaman kamera litar tertutup CCTV menunjukkan kanak-kanak malang itu dipimpin seorang lelaki selepas pulang daripada kelas mengaji.
BACA: Hilang pergi mengaji: Zainab ditemui mati dirogol dan dibuang dalam tong sampah
Pembunuhan Zainab membawa kepada pendedahan kepada banyak lagi kes seumpamanya yang dipercayai dilakukan individu yang sama.
Bagaimanapun belium dapat dipastikan sama ada suspek adalah individu sama yang terlibat dalam lapan kes rogol dan bunuh kanak-kanak di Kasur.
Ayah kepada Zainab, Mohammed Amin dalam temubual bersama media tempatan menuntut penjenayah yang bertanggungjawab meragut kesucian dan nyawa anaknya dihukum gantung sampai mati.
#bunuh #CCTV #jenayah #Kanak-kanak #lelaki #mati #mayat #Pakistan #rogol #suspek #Zainab Ansari
;