Suspek letupan bom asap sasar PM Jepun dihantar ke pejabat pendakwaan

Bernama
April 17, 2023 17:28 MYT
Kimura Ryuji yang ditahan selepas serangan terhadap Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dihantar ke pejabat pendakwa di Wilayah Wakayama. -Reuters
TOKYO: Seorang lelaki berusia 24 tahun, Kimura Ryuji, yang ditahan selepas serangan terhadap Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dan masih enggan memberi keterangan, dihantar ke pejabat pendakwa di Wilayah Wakayama, lapor Sputnik.
Pada Sabtu, ketika Kishida tiba untuk berucap di Wakayama, seorang lelaki muda melemparkan objek berbentuk silinder ke arahnya, diikuti bunyi letupan dan bau asap. Bagaimanapun, Kishida terselamat dalam insiden itu.
Penyerang turut memegang satu lagi objek silinder di tangannya.
Polis berkata bahan letupan yang digunakan suspek mungkin bom paip yang diperbuat daripada logam berdasarkan bahan dan alatan yang ditemukan di rumahnya, lapor penyiar Jepun NHK.
Setakat ini masih tidak jelas sama ada bom itu boleh membunuh.
Kimura disyaki "cuba mengganggu proses kerja," dan masih berdiam diri, kata laporan itu.
Insiden itu berlaku tidak sampai setahun selepas bekas Perdana Menteri Shinzo Abe maut ditembak ketika berucap semasa berkempen di Wilayah Nara pada 8 Julai 2022.
-- BERNAMA
#Ryuji Kimura #Fumio Kishida #bom asap #sasar PM Jepun
;