Suspek kes tembakan di Paris akui 'sangat benci warga asing'

Bernama
Disember 26, 2022 12:07 MYT
Keadaan di sekitar jalan Rue d'Enghien susulan kejadian tembakan rambang dilepaskan seorang suspek di Paris, 23 Dis 2022. REUTERS
PARIS: Seorang lelaki Perancis berusia 69 tahun yang disyaki menembak mati tiga orang di Paris mengakui sangat membenci warga asing, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan pada Ahad.
Lelaki itu telah dipindahkan ke unit psikiatri untuk penilaian pada Sabtu tetapi kemudian dilepaskan dan ditahan semula, menurut laporan.
Dia akan dibawa ke mahkamah pada Isnin.
Suspek, William M. yang pernah bekerja sebagai pemandu kereta api dan mempunyai rekod kesalahan jenayah senjata api, melepaskan tembakan di pusat kebudayaan dan salun dandanan rambut yang membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan tiga yang lain pada Jumaat, menurut laporan media tempatan.
Rekod polis menunjukkan lelaki itu pernah menyerang pusat pendatang di Paris dengan pedang pada Dis 2021, mencederakan dua orang dan telah menjalani hukuman penjara sebelum dibebaskan awal bulan ini.
Menurut laporan media tempatan suspek itu juga dikatakan kecewa kerana tidak dapat membunuh diri dan mengalami "depresi".
-- BERNAMA
#tembakan rambang #Paris #benci warga asing #serangan
;