Suspek kes tembak mahu bunuh polis kulit putih: Ketua Polis Dallas
AFP
Julai 8, 2016 21:14 MYT
Julai 8, 2016 21:14 MYT
Suspek dalam kes penembak hendap menyerang polis di Dallas memberitahu pihak perunding, dia mahu membunuh orang kulit putih, terutamanya polis, selepas kejadian baru-baru ini yang menyaksikan pegawai polis Amerika menembak lelaki kulit hitam, menurut ketua polis bandaraya itu pada Jumaat.
David Brown menyeru agar perpaduan ditingkatkan susulan serangan itu, yang mengakibatkan lima polis terbunuh dan sembilan cedera - tujuh daripadanya polis - mengatakan, "Ini mesti berhenti - perpecahan antara polis dan rakyat kita ini."
Suspek tersebut dibunuh menggunakan bahan letupan yang diletupkan oleh polis semasa satu situasi tegang selepas kejadian menembak pada Khamis malam apabila satu protes diadakan bagi menentang kejadian tembakan maut oleh polis terhadap dua lelaki kulit hitam minggu ini di Louisiana dan Minnesota, kata Brown.
"Pegawai polis Dallas terluka. Kami kecewa. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kekejaman yang berlaku ke atas bandar kami ini," kata Brown kepada pemberita.
Ketua polis itu menceritakan bagaimana rundingan dengan suspek itu, yang setakat ini hanya dikenal pasti sebagai seorang lelaki, terganggu dari masa ke masa.
"Katanya, dia berasa sedih tentang kejadian tembakan pihak polis baru-baru ini. Suspek itu berkata, dia kecewa dengan orang kulit putih. Suspek itu berkata, dia mahu membunuh orang kulit putih, terutamanya pegawai polis kulit putih," kata Brown.
Lelaki bersenjata itu juga berkata, dia tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan yang terancang.
Walaupun polis berkata, lelaki itu mengaku bertindak bersendirian, tiga suspek ditahan.
Datuk Bandar Mike Rawlings sebelum ini berkata, mereka "tidak memberi kerjasama yang baik."
Daripada lima pegawai yang terbunuh, seorang adalah polis transit Dallas.
Rawlings meminta rakyat Amerika menyertai penduduk Dallas memanjatkan doa "untuk bersama menyatukan bandaraya kita dan negara kita - bagi menyembuhkan luka, bukan menambah luka."