Suspek kes tembak Dallas terbunuh: media

AFP
Julai 8, 2016 18:48 MYT
Orang ramai menyaksikan kejadian polis berbalas tembak dengan penembak hendap di Dallas pada 7 Julai 2016. - FotoAFP
Seorang suspek dalam kejadian tembak menembak di Dallas yang mengorbankan lima anggota polis dilaporkan mati selepas satu situasi tegang dengan pihak polis di sebuah garaj di pusat bandar, media AS melaporkan Jumaat, memetik sumber penguatkuasaan undang-undang.
Enam lagi pegawai polis dan seorang orang awam terbunuh pada kejadian yang disifatkan media 'hari yang paling dahsyat' bagi penguatkuasaan undang-undang sejak September 11, 2011.
CNN memetik sumber polis sebagai berkata, suspek tersebut terbunuh, walaupun sesetengah media tempatan mengatakan, suspek berkenaan menembak dirinya sendiri.
Polis berbalas tembak dengan suspek awal pagi Jumaat.
CNN melaporkan bahawa satu pasukan SWAT daripada polis elit pakar penembak dan anjing pengesan bom telah dikerahkan ke tempat kejadian serta bom asap turut digunakan.
Ketua Polis David Brown berkata sebelum ini, suspek telah "memberitahu perunding kami yang ia semakin berakhir, dan dia akan mencederakan dan membunuh lebih ramai lagi di kalangan kami, iaitu penguatkuasaan undang-undang. Dan terdapat bom di seluruh kawasan di garaj ini dan di pusat bandar."
Tiga suspek lain turut ditahan - seorang wanita dan dua lelaki yang ditemui dengan beg penyamaran dalam kereta, walaupun Brown telah memberi amaran mungkin terdapat beberapa orang suspek lagi.
Beliau berkata, polis percaya sekurang-kurangnya dua penembak hendap telah memulakan serangan dengan menembak polis dari tempat tinggi semasa satu protes aman pada Khamis (waktu tempatan).
Protes tersebut bagi menentang kejadian terdahulu di mana polis menembak mati dua lelaki kulit hitam di Minnesota dan Louisiana minggu ini.
#Dallas #polis #tembakan
;