Suspek kes rogol bukan bunuh diri - Peguam
AFP
Mac 11, 2013 15:20 MYT
Mac 11, 2013 15:20 MYT
Seorang pemandu bas yang juga suspek utama kes rogol di New Delhi India yang ditemui mati di penjara pada Isnin atas dakwaan membunuh diri, dikatakan telah diseksa dan dibunuh.
Itu dakwaan dilemparkan ibu bapa dan peguam tertuduh.
"Anak saya tidak akan bunuh diri," menurut Mange Lal Singh selepas anaknya Ram Singh ditemui mati di penjara Tihar di pinggir Delhi.
"Saya baru sahaja menemuinya enam hari lalu. Dia ada memberitahu yang dirinya dalam bahaya dan dia telah diliwat oleh rakan-rakannya," bapa tertuduh memberitahu AFP.
Pihak penjara menemui Ram Singh tergantung menggunakan kain yang diikat pada jeriji penjara.
Tetapi Mange Lal Singh berkata yang anaknya tidak mungkin akan melakukan perbuatan sedemikian kerana kecederaan pada tangannya yang dialami selepas kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.
"Dia tidak mungkin dapat menggantungkan dirinya dengan satu tangan sahaja," menurut bapanya yang ditemui di sebatang jalan di Delhi lokasi dimana anaknya pernah tinggal dahulu.
Kalyani Devi, ibu kepada Ram Singh berkata anaknya telah menunjukkan tanda-tanda yang dia telah diseksa sejak dia ditahan pada 16 Disember lalu termasuklah kesan parut pada badannya.
"Dia telah melakukan kesilapan dan dia telah mengaku kesilapannya. Hanya tuhan sahaja yang dapat memaafkannya," menurut beliau.
"Dia tidak pun diberi kesempatan untuk bertaubat."
Peguam Ram Singh V K. Anand berkata kematian anak guamnya perlu diklasifikasikan sebagai dibunuh.
"Anak guam saya tidak membunuh diri. Saya selalu berhubung dengannya setiap hari," dia memberitahu AFP.
"Jika dia membunuh diri, pastinya dia akan meninggalkan sekeping nota. Saya mahukan satu suruhanjaya bebas ditubuhkan."
"Tidak ada rakaman CCTV yang menunjukkan dia telah membunuh diri. Dia telah diseksa beberapa kali sejak dua bulan yang lalu."
"Pegawai penjara Tihar tidak mahu mengulas lanjut berhubung dakwaan keluarga itu dan akan menunggu keputusan suruhanjaya yang baru dilancarkan." akhiri beliau.