Suspek kes pemerdagangan manusia gantung diri dalam penjara

Astro Awani
Ogos 11, 2019 08:21 MYT
Epstein, 66, dipercayai menggantung diri sebelum mayatnya ditemukan pagi Sabtu. -Reuters
Bekas pakar kewangan dan suspek dalam kes pemerdagangan manusia untuk seks, Jeffrey Epstein didakwa membunuh diri ketika dalam penjara di New York.
Epstein, 66, dipercayai menggantung diri sebelum mayatnya ditemukan pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan pada Sabtu.
Dia ditahan pada 6 Julai kerana disyaki melakukan aktiviti pemerdagangan gadis bawah umur untuk tujuan seks.
Insiden dilaporkan berlaku di kediaman Epstein di New York dan Florida di antara 2002 dan 2005.
Jika didapati bersalah, Epstein boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 45 tahun.
Menurut pihak berkuasa, Epstein dilaporkan membawa lebih 40 gadis bawah umur untuk ditemukan dengan individu bagi tujuan seks di Florida.
Sebelum ini, dia pernah mengaku bersalah atas satu kesalahan mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah umur dan dijatuhi hukuman penjara pada 2008.
Pengakuan tersebut mendapat kritikan keras kerana didakwa berlaku elemen penyelewengan antara Epstein dan pihak berkuasa.
Kes Epstein mendapat perhatian kerana hubungannya dengan individu ternama dunia termasuk Bill Clinton, Donald Trump dan Putera Andrew.
#bunuh diri #gadis bawah umur #gantung diri dalam penjara #Jeffrey Epstein #pakar kewangan #pemerdagangan gadis bawah umur #suspek kes pemerdagangan manusia
;