Suspek kes langgar lari meraung apabila dapat tahu mangsa adalah isteri dan anaknya
Agensi
Mac 30, 2018 07:07 MYT
Mac 30, 2018 07:07 MYT
Seorang lelaki yang terlibat dalam kes langgar lari di wilayah Shandong, China terkejut dan meraung menyalahkan dirinya sendiri apabila mendapat tahu mangsa yang ditinggalkan tanpa dibantu itu ialah isteri dan anaknya.
Lelaki bernama Zhang itu dilaporkan memecut kenderaannya untuk melarikan diri dari lokasi kejadian selepas melanggar sebuah basikal kuasa elektrik yang dinaiki seorang wanita dan juga seorang kanak-kanak lelaki, lapor portal berita Mirror.
Zhang bagaimanapun berjaya ditahan pada malam yang sama.
Sejurus kemalangan berlaku, beberapa saksi telah bergegas ke lokasi kejadian di sebuah laluan gelap di Zibo, Shandong itu.
Mereka dilaporkan menjumpai seorang wanita dan anaknya yang cedera, selain motosikal yang remuk, lalu segera menghubungi ambulans dan polis.
Isteri Zhang dan anaknya itu telah dikejarkan ke hospital berdekatan, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia selepas pihak doktor tidak mampu menyelamatkan nyawanya.
Polis Shandong dalam satu kenyataan berkata, isteri Zhang kini dalam unit rawatan rapi.
Dalam sebuah rakaman video polis yang kini tular, lelaki itu dilihat dibawa semula ke lokasi kejadian pada keesokan harinya dalam keadaan meraung dan menangis teresak-esak.
Zhang membuat pengakuan, dia dan isteri serta anaknya baru pulang dari sesi makan malam di kediaman saudara mereka.
Istri dan anaknya bergerak pulang terlebih dahulu menaiki motosikal itu, sementara dia menyusul pulang dengan memandu van sendirian.