Suspek kes keganasan rumah tangga 'bergaduh' dengan polis di Facebook

Agensi
Januari 5, 2018 04:29 MYT
Jamie Murphy tidak gembira apabila polis menyiarkan gambarnya di Facebook, tuduh polis 'jaga tepi kain'.
SEORANG lelaki yang diburu polis nampaknya tidak menjadikan situasi itu sebagai penghalang untuk terus menikmati kemudahan media sosial.
Jamie Murphy diburu polis Preston, England, selepas terbabit dalam satu kes keganasan rumahtangga, November lalu.
Rabu lalu, Jabatan Polis Preston memuat naik status beserta gambar mugshot Murphy, ke akaun Facebook rasmi mereka.
Dalam kapsyen bersama status itu, polis meminta Murphy menyerah diri untuk memudahkan siasatan.
Namun ia nyata tidak menggembirakan Murphy dan lelaki itu meninggalkan komen pada status tersebut.
"Saya tak jaga tepi kain orang, jadi saya harap orang lain juga tidak masuk campur urusan keluarga saya," tulis Murphy.
Tidak cukup dengan itu, Murphy berkongsi status tersebut ke akaun Facebooknya, selain memuat naik satu status mengecam pihak berkuasa, menggunakan perkataan yang tidak sopan.
Dalam reaksi balas mereka, pihak polis meminta Murphy berhenti 'buat perangai' dan terus ke balai polis berdekatan untuk menyerah diri.
"Apa yang anda tulis di sini takkan dapat membela anda. Kami sarankan anda segera menyerah diri kerana kami tidak akan berhenti mencari anda," kata polis.
Ketika berita ini ditulis, Murphy masih belum menyerah diri, sebaliknya sempat memuat naik satu status ke Facebook, 14 jam yang lalu.
#Facebook #Jamie Murphy #keganasan rumah tangga #polis #Preston England #suspek
;