Suspek kes bunuh ahli Parlimen Britain Jo Cox didakwa - Polis

AFP
Jun 18, 2016 10:53 MYT
Suspek tunggal, Thomas Mair yang didakwa membunuh anggota Parlimen Britain, Jo Cox akan hadir di mahkamah lewat hari ini, kata polis.
Suspek tunggal, Thomas Mair yang didakwa membunuh anggota Parlimen Britain, Jo Cox akan hadir di mahkamah lewat hari ini, kata polis.
Cox, 41 tahun, yang mempunyai dua orang anak ditembak dan ditikam di luar perpustakaan Birstall ketika mahu menghadiri satu mesyuarat, Khamis lalu.
Menurut laporan AFP, Mair, 52, yang berasal dari kampung Yorkshire, ditahan berhampiran tempat kejadian.
Penyiasat Jabatan Polis West Yorkshire Superitenden Nick Wallen yang mengetuai siasatan berkata Mair telah didakwa berhubung rentetan jenayah yang berkaitan dengan kematian Cox.
"Kami telah mendakwa lelaki berkenaan atas kesalahan membunuh, menyebabkan kecederaan fizikal yang serius, serta memiliki senjata berbahaya.
"Thomas Mair, 52, akan muncul di Mahkamah Majistret Westminster hari ini,” katanya.
Majoriti Ahli Parlimen dan ahli politik termasuk Perdana Menteri David Cameron, Jeremy Corbyn dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry memberi penghormatan kepada Cox dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya.
White House ucap takziah
White House berkata Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menzahirkan ucapan takziah kepada Cox dan memuji khidmatannya di Parlimen yang disifatkan sebagai “tidak mementingkan diri sendiri.”
"Presiden Obama mengucapkan takziah beliau bagi pihak rakyat Amerika kepada Cox, dua orang anaknya, rakan-rakannya, serta pengundi beliau," kata White House dalam satu kenyataan,
"Presiden berkata dunia ini berada di tempat yang lebih baik kerana khidmatnya yang ikhlas dan jujur, dan tidak ada sebarang justifikasi untuk jenayah sekejam ini, yang memusnahkan sebuah keluarga, seorang isteri yang dedikasi, seorang ibu dan juga seorang kakitangan kerajaan.”
Himpunan di luar Parlimen
Beratus-ratus orang berkumpul di luar Parlimen Square London untuk memberi penghormatan terakhir kepada anggota Parlimen itu, serta bertakafur selama seminit.
Mereka dilihat membawa sejambak bunga serta menyalakan lilin sebagai tanda memperingati pemergian Cox.
Bekas pemimpin Buruh, Ed Miliband bersama Bekas Timbalan Ketua, Harriet Harman dan Ahli Parlimen Buruh, Wes Streeting untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
Cox, graduan Universiti Cambridge, pernah bertugas sebagai pekerja bantuan sebelum dipilih menjadi Ahli Parlimen Batley dan Spen pada 2015.
Beliau cukup dikenali sebagai pejuang hak wanita dan aktif dalam beberapa kerja amal.
Cox merupakan Ahli Parlimen pertama yang masih dalam perkhidmatan yang dibunuh sejak 1990.
#bunuh #Jo Cox #parlimen britain #Thomas Mair
;