Suspek insiden tembak di bar California dikenal pasti
Agensi
November 9, 2018 12:58 MYT
November 9, 2018 12:58 MYT
Seorang veteran Kor Marin Amerika Syarikat yang dipercayai mempunyai masalah mental dikenal pasti sebagai suspek insiden tembakan rambang di sebuah bar di California yang meragut 12 nyawa termasuk seorang anggota polis.
Ian David Long dikatakan merempuh masuk ke dalam bar Borderline Bar and Grill, kira-kira 65 kilometer barat laut Los Angeles setelah menembak pengawal keselamatan.
Menurut pihak polis, awal tahun ini, suspek berusia 28 tahun tersebut mendapat pelepasan pasukan kesihatan mental polis selepas didapati berkelakuan 'tidak rasional' di rumah.
Dalam kejadian jam 11.20 malam waktu tempatan kelmarin, sekurang-kurangnya 200 orang, kebanyakannya pelajar kolej sedang menyambut malam muzik country.
Saksi kejadian berkata, suspek yang berpakaian hitam melemparkan bom asap sebelum melepaskan tembakan rambang ke arah pengunjung yang sedang berhibur.
Suspek yang juga pernah berkhidmat di Afghanistan itu dipercayai menggunakan pistol separuh automatik ketika melakukan serangan yang mengorbankan seorang anggota polis bernama Sarjan Ron Helus dan mencederakan 11 yang lain.
Kebanyakan pengunjung dilaporkan menyelamatkan diri dengan memecahkan tingkap premis menggunakan kerusi, manakala yang lain bersembunyi di dalam tandas.
Suspek dipercayai menembak dirinya sendiri sebelum ditemui mati di dalam bar tersebut.- BBC
#bom asap
#Borderline Bar and Grill
#California
#Ian David Long
#Los Angeles
#masalah mental
#serangan
#tembakan rambang
#tidak rasional