Suspek insiden keganasan di Pattani dikenal pasti - Polis

Bernama
November 4, 2016 23:24 MYT
Dua hari lepas, wilayah selatan Thai di Pattani, Narathiwat dan Songkla digegarkan dengan 13 serangan bom, lima kes tembakan dan lima serangan khianat. - Foto AFP
Polis Thai telah mengenal pasti tujuh suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan bom dan khianat terhadap sebuah stesen minyak di Pattani tiga hari lepas.
Pemangku Ketua Polis Pattani, Kol Piyawat Chalermsi berkata serangan bom dan khianat tersebut telah menyebabkan kebakaran besar di stesen minyak dimiliki syarikat berkaitan kerajaan itu tetapi tidak menyebabkan kematian atau kecederaan.
"Kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam wajah ketujuh-tujuh suspek itu dan kita juga telah mengenal pasti nama lima daripada mereka," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Menurutnya, pihak berkuasa belum bersedia mendedahkan nama lima suspek itu bagi membolehkan siasatan diteruskan untuk mengenal pasti nama baki dua suspek.
Piyawat berkata polis percaya suspek terbabit juga terlibat dalam insiden serangan bom di sebuah hotel di Pattani pada Ogos lepas.
Dua hari lepas, wilayah selatan Thai di Pattani, Narathiwat dan Songkla digegarkan dengan 13 serangan bom, lima kes tembakan dan lima serangan khianat yang menyebabkan tiga kematian dan enam cedera. -- Bernama
#Ketua Polis Pattani #Piyawat Chalermsi #Selatan Thai #Suspek serangan Pattani