Suspek bunuh Ahli Parlimen UK menghidap sakit mental

Agensi
Jun 17, 2016 14:25 MYT
Mereka yang kenali Thomas Mair berkata individu itu seorang yang penyendiri. -AFP PHOTO/DANIEL LEAL-OLIVAS
Lelaki yang ditangkap kerana dipercayai membunuh anggota Parlimen Britain, Jo Cox menyifatkan suspek itu sebagai seorang yang suka menyendiri dan menghidap penyakit mental.
Bagaimanapun, menurut laporan, lelaki itu mempunyai hubung kait dengan ekstremis kulit putih.
Dikenal pasti sebagai Thomas Mair oleh media Britain, Mair dilaporkan telah tinggal di sebuah kawasan perumahan sosial berhampiran perkampungan Birstall sejak 40 tahun lalu.
“Dia begitu pendiam, selalu bersendirian. Dia begitu sopan, tidak minum arak dan tidak ambil dadah,” kata Stephen Lees, yang turut tinggal di kawasan yang sama dan merupakan sahabat kepada adik Mair.
BACA: Ahli Parlimen UK parah diserang dan ditikam meninggal dunia
Lees turut mendedahkan Mair menghidap gangguan obsesif-kompulsif (obsessive compulsive disorder).
Seorang lagi jiran, David Pickles, 62, dilaporkan sebagai berkata kepada beberapa akhbar tempatan bahawa Mair “seorang penyendiri namun saya tidak boleh berkata beliau tidak ramah.”
Adik Mair iaitu Scott, 50, memberitahu akhbar The Sun beliau “masih tidak percaya dengan apa yang sudah berlaku.”
“Abang saya bukan seseorang yang ganas dan bukan pengikut politik. Kami tidak tahu dia undi siapa. Saya masih terkejut dengan berita ini,” katanya.
Cox, 41 tahun dan mempunyai dua orang anak ditembak dan ditikam di luar perpustakaan Birstall ketika mahu menghadiri satu mesyuarat.
Majoriti Ahli Parlimen dan ahli politik termasuk Perdana Menteri David Cameron, Jeremy Corbyn dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry memberi penghormatan kepada Cox dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya.
Jadual kempen pungutan suara Brexit yang sepatutnya dihadiri Cox dan pemimpin Parti Buruh lain digantung sementara susulan kematian pemimpin wanita berkenaan.
Sementara itu, suami Cox, Brendan berkata, mendiang mahu rakyat bersatu memerangi jenayah kebencian yang menjadi penyebab pembunuhannya.
Cox, graduan Universiti Cambridge pernah betugas sebagai pekerja bantuan sebelum dipilih menjadi Ahli Parlimen Batley dan Spen pada 2015.
Beliau cukup dikenali sebagai pejuang hak wanita dan aktif dalam beberapa kerja amal.
Cox merupakan Ahli Parlimen pertama yang masih dalam perkhidmatan yang dibunuh sejak 1990.
#Jo Cox #mangsa #Parti Buruh #tembak #Thomas Mair