Suruhanjaya Tinggi anjur upacara khas keagamaan untuk mangsa serangan Sri Lanka
Bernama
April 24, 2019 05:27 MYT
April 24, 2019 05:27 MYT
Satu upacara khas keagamaan antara agama telah dianjurkan pada Rabu oleh Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia bagi memperingati mangsa serangan pengganas baru-baru ini di negara Asia Selatan itu.
Suruhanjaya itu berkata upacara selama 30 minit itu yang berlangsung di kedutaan Sri Lanka di sini dihadiri tujuh pemimpin agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian.
"Sebuah pelita telah dinyalakan bagi mengingati mangsa serangan baru-baru ini diikuti tempoh bertafakur selama tiga minit," menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini pada Rabu.
Kerajaan Sri Lanka telah mengisytiharkan 23 April sebagai Hari Berkabung Nasional bagi memperingati dan menghormati mangsa yang terkorban dalam serangan itu.
Menteri dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Majintha Jayesinghe mengetuai upacara menyalakan pelita itu.
Sementara itu, buku ucapan takziah telah dibuka dari Selasa (23 April) hingga Jumaat (25 April) dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka, Tingkat 17, Faber Imperial Court, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Beberapa siri letupan di gereja dan hotel mewah sekitar Sri Lanka pada Hari Easter (21 April) menyebabkan 359 maut manakala beratus-ratus lagi cedera. Lebih 34 warga asing adalah antara yang terbunuh.
Menurut laporan, sembilan pengebom bunuh diri terlibat dalam serangan pada Ahad, lapan daripada mereka telah dikenal pasti oleh polis Sri Lanka. Setakat ini, 60 suspek telah ditahan berhubung insiden letupan itu.
-- BERNAMA