Suruhanjaya siasat keganasan pasca pilihan raya - Mnangagwa
Astro Awani
Ogos 26, 2018 07:45 MYT
Ogos 26, 2018 07:45 MYT
Satu suruhanjaya akan ditubuhkan bagi menyiasat insiden keganasan pasca pilihan raya presiden yang terjadi 1 Ogos lalu, menyaksikan enam nyawa terkorban.
Demikian antara janji Emmerson Mnangagwa sebaik mengangkat sumpah sebagai presiden Zimbabwe pada Ahad.
"Untuk mencari penutup kepada kejadian keganasan tersebut, tidak lama lagi saya akan menamakan anggota suruhanjaya siasatan, yang turut akan mengumumkan dapatan mereka setelah tugasan mereka selesai.
"Sekali lagi, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang mereka," katanya dalam satu ucapan selepas mengangkat sumpah di stadium nasional Harare.
Mnangagwa mengangkat sumpah sebagai presiden buat kali kedua dalam tempoh sembilan bulan.
Upacara angkat sumpah dijalankan di depan Ketua Hakim Negara Luke Malaba.
Bekas tentera ini berdepan cabaran menyatukan kembali rakyat negara itu yang berpecah belah susulan krisis politik.
"Sekarang masanya untuk kita semua bersatu sebagai sebuah negara dan membangunkan ekonomi kita.
"Marilah kita memulakan perjalanan bersama ke arah merealisasikan visi negara kita dengan berani dan bersungguh-sungguh.
"Bagi mengubah ekonomi Zimbabwe ke arah berpendapatan sederhana, dengan peningkatan pelaburan, peluang pekerjaan, serta bebas daripada kemiskinan dan rasuah menjelang 2030."
Majlis angkat sumpah berlangsung beberapa hari selepas mahkamah perlembagaan Zimbabwe menolak permohonan pembangkang untuk membatalkan keputusan pilihan raya presiden 30 Julai lalu.
#angkat sumpah
#Emmerson Mnangagwa
#janji
#keganasan
#pilihan raya presiden
#Siasat
#suruhanjaya
#Zimbabwe