Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand syor pembubaran parti Thai Raksa Chart

Astro Awani
Februari 12, 2019 07:30 MYT
Kertas permohonan Puteri Ubolratana sebagai calon bagi parti Thai Raksa Chart dilihat di pejabat suruhanjaya pilihan raya di Bangkok, Thailand, 8 Feb, 2019. REUTERS
Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand berkemungkinan mencadangkan parti Thai Raksa Chart dibubarkan.
Ini kerana, parti yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra itu didakwa cuba menarik monarki ke dalam politik.
Menurut laporan Bangkok Post, suruhanjaya itu juga meminta mahkamah perlembagaan membubarkan parti tersebut kerana melakukan perbuatan yang dianggap kejam terhadap sistem monarki perlembagaan Thailand.
Sekiranya mahkamah bersetuju, parti tersebut akan dibubarkan dan ahli eksekutifnya akan dihalang daripada menyertai politik sama ada untuk tempoh 10 tahun atau seumur hidup.
BACA: Pilihan raya Thailand: Kakak Raja Thai jadi calon PM
Ia susulan pencalonan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi, yang juga kakak kepada Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn, sebagai calon perdana menteri untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang bakal berlangsung 24 Mac ini.
Bagaimanapun, pencalonan tersebut mendapat tentangan Raja Maha Vajiralongkorn yang menyifatkan ia tidak wajar dan melanggar adat dan budaya Thailand.
BACA: Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand tolak pencalonan Ubolratana
BACA: Pencalonan Puteri Thai sebagai PM cemar institusi diraja
Pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya menolak pencalonan Puteri Ubolratana dan berkata setiap ahli keluarga diraja perlu bersikap neutral dan tidak mencampuri urusan politik.
#bubar #calon #mahkamah perlembagaan #monarki #monarki perlembagaan #pilihan raya umum #politik #Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi #Raja Maha Vajiralongkorn #Thai Raksa Chart #Thailand #Thaksin Shinawatra
;