Suruhanjaya Pilihan Raya Thai jamin pilihan raya yang adil dan bersih
Bernama
Mac 23, 2019 06:16 MYT
Mac 23, 2019 06:16 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Thailand mengulangi komitmennya terhadap pilihan raya yang bersih dan adil menjelang hari pengundian pada Ahad.
Pesuruhjaya pilihan raya, Lertviroj Kowattana berkata EC merupakan sebuah pertubuhan bebas yang telah diberikan kepercayaan melaksanakan tugas itu sebaik mungkin.
"EC mempunyai mandat untuk melaksanakan pilihan raya secara bebas dan adil bagi membolehkan rakyat melaksanakan hak mereka untuk membuang undi secara bebas tanpa pengaruh atau campur tangan pihak lain.
"Harus difahami di sini bahawa EC tidak diwujudkan bagi melakukan suatu keajaiban. Ia mempunyai mandat untuk melaksanakan pilihan raya yang adil dan jujur," katanya pada program Pemerhati Pilihan raya Antarabangsa 2019 di sini pada Sabtu.
Sebanyak 42 perwakilan dari 11 negara iaitu Australia, Bhutan, Malaysia, Maldives, Myanmar, Indonesia, Filipina, Korea, Timor Leste, Vietnam and Kemboja serta International Institute for Democracy on Electoral Assistance (International IDEA) menyertai program tiga hari itu.
Turut serta Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Datuk Seri Ramlan Ibrahim and Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Pahang Datuk Zamree Hamli.
Lertviroj berkata EC, rakyat, pegawai kerajaan, pengamal media, parti politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) harus sama-sama bertindak dan melakukan usaha kolektif bagi membawa kepada pilihan raya yang jujur dan adil.
"Bagi mencapai matlamat ini keupayaan institusi perlu diperkasakan bagi menyokong pengurusan pilihan raya, bagi menyusun parti-parti politik, dan untuk memperluas pengetahuan rakyat mengenai proses-proses pemilihan dan politik.
"Tanpa semua ini, semua usaha akan menjadi satu latihan yang sia-sia," katanya.
Lertviroj menambah bahawa EC mempunyai tugas untuk menyebarkan pengetahuan mengenai pemilihan kepada rakyat dan membangunkan sistem parti politik untuk menjadi institusi politik yang kuat dan berdaya maju yang sesuai dengan peranan penting dalam menyediakan pendidikan sivik kepada rakyat dan memperbaiki regim demokrasi kerajaan dengan Raja sebagai Ketua Negara.
Beliau berkata ahli politik dan parti politik harus memperbaiki kualiti dan keadilan dalam pertandingan pilihan raya serta bagi mewujdkan etika sendiri dan kod tatalaku dalam menjalankan kempen pilihan raya.
"Apa yang paling mereka hendaklah menjadi ahli politik yang mematuhi undang-undang pilihan raya.
"Para pemilih juga harus mengubah budaya mengundi dan mewujudkan sistem nilai agar dapat dibezakan antara ahli politik yang jujur dengan yang tidak jujur dan hanya yang baik sahaja dilantik berdasarkan merit," katanya.
Sementara itu Lertviroj berkata EC juga bertanggungjawab menjalankan penyelidikan bagi mencari fakta serta membuat pertanyaan mengenai permasalahan yang timbul atau pertikaian dalam pilihan raya.
"Pada masa sekarang corak pelanggaran undang-undang pilihan raya dilakukan secara bijak dan menjadi semakin rumit, justeru siasatan harus dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi memastikan fakta semasa proses mengesahkan keputusan pilihan raya," katanya.
-- BERNAMA
#Bebas
#campur tangan
#demokrasi
#EC
#Lertviroj Kowattana
#pemilihan
#pilihan raya
#politik
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Thailand
#undang-undang