Suruhanjaya EU mungkin kenakan duti import ke atas kenderaan elektrik dari China
Bernama
Jun 12, 2024 20:46 MYT
Jun 12, 2024 20:46 MYT
MOSCOW: Suruhanjaya Eropah pada Rabu berkata ia secara sementara memutuskan untuk mengenakan duti tambahan ke atas import kenderaan elektrik China mulai Julai jika perbincangan dengan pihak China tidak menghasilkan penyelesaian yang berkesan, lapor Sputnik.
Siasatan berterusan suruhanjaya itu telah membuat kesimpulan sementara bahawa "rantaian nilai kenderaan elektrik bateri (BEV) di China mendapat manfaat daripada subsidi yang tidak adil, yang menyebabkan ancaman kecederaan ekonomi kepada pengeluar BEV EU."
Suruhanjaya Eropah dalam kenyataan memaklumkan bahawa dalam konteks itu suruhanjaya telah mendedahkan tahap duti timbal balas sementara yang akan dikenakan ke atas import kenderaan elektrik bateri dari China.
"Sekiranya perbincangan dengan pihak berkuasa China tidak membawa kepada penyelesaian yang berkesan, duti timbal balas sementara ini akan diperkenalkan mulai 4 Julai melalui jaminan (dalam bentuk yang akan ditentukan oleh Kastam di setiap negara anggota).
"Ia hanya akan dikutip hanya jika dan apabila duti muktamad dikenakan," menurut suruhanjaya.
-- BERNAMA