Suruhanjaya EU mansuh sekatan dana EUR10 bilion Hungary
Bernama
Disember 14, 2023 16:37 MYT
Disember 14, 2023 16:37 MYT
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah pada Rabu menghapuskan sekatan dana kira-kira EUR10 bilion (AS$10.8 bilion) untuk Hungary, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pesuruhjaya Keadilan EU Didier Reynders berkata pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan Perdana Menteri Viktor Orban untuk meningkatkan kebebasan badan kehakiman sepenuhnya mematuhi ketetapan yang dipersetujui.
"Kami telah menerima jaminan yang mencukupi untuk mengatakan bahawa kebebasan badan kehakiman akan diperkukuh di Hungary," kata Reynders.
Bagaimanapun, dana EU tambahan berjumlah hampir EUR12 bilion dan berbilion-bilion lagi dalam bantuan pemulihan COVID-19 kekal disekat.
Kesatuan Eropah membekukan wang itu atas kebimbangan bahawa usaha yang terlalu sedikit dilakukan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memerangi rasuah di bawah pentadbiran Orban.
Masih belum dapat dipastikan sama ada kelulusan dana itu akan memberi kesan kepada keputusan Orban untuk memveto keputusan ke atas Ukraine pada sidang kemuncak EU minggu ini.
-- BERNAMA