Suruhanjaya Eropah saman Hungary atas dakwaan pelanggaran hak asasi
Bernama
Oktober 3, 2024 07:50 MYT
Oktober 3, 2024 07:50 MYT
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah memutuskan pada Khamis untuk membawa Hungary ke mahkamah atas dakwaan pelanggaran hak asasi Kesatuan Eropah (EU), lapor agensi berita Jerman (dpa).
Langkah ini diambil selepas Budapest gagal menghilangkan kebimbangan mengenai undang-undang baharu Hungary yang bertujuan untuk mengehadkan pembiayaan asing bagi kempen politik, menurut satu kenyataan akhbar.
Pengumuman ini adalah yang terbaharu dalam siri teguran terhadap Hungary, yang mana kerajaan nasionalis Perdana Menteri Viktor Orban sering dikritik oleh suruhanjaya itu kerana dasar-dasar yang bersifat mengekang.
Suruhanjaya itu mengesyaki undang-undang berkenaan melanggar kebebasan bersuara, anggapan tidak bersalah, dan beberapa prinsip pasaran dalaman EU.
Rang Undang-Undang itu memperluaskan larangan sedia ada terhadap pembiayaan asing untuk parti politik kepada persatuan dan organisasi lain. Jika disabitkan, pesalah boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara.
Jika Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) memihak kepada suruhanjaya, Hungary sekali lagi mungkin dikenakan denda berat.
Ahli Parlimen EU dari Jerman, Daniel Freund, mengalu-alukan keputusan suruhanjaya itu, yang disifatkannya sebagai "langkah yang betul dan sudah lama tertangguh."
"Undang-undang ini diambil terus daripada buku teks [Presiden Rusia] Vladimir Putin dan digunakan secara khusus terhadap masyarakat sivil di Hungary," dakwa Freund.
ECJ telah mengenakan denda EUR200 juta (US$221 juta) pada Jun lepas atas pelanggaran undang-undang suaka EU. Memandangkan Budapest telah terlepas tarikh akhir untuk membayar denda, suruhanjaya memutuskan untuk menolak jumlah berkenaan daripada dana EU untuk Hungary.
Suruhanjaya itu yang bertanggungjawab mencadangkan dan menguatkuasakan undang-undang EU, kini sedang menjalankan lebih daripada 70 siasatan terhadap Hungary atas dakwaan pelanggaran undang-undang EU.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Hungary Viktor Orban
#Suruhanjaya Eropah
#pelanggaran hak asasi EU
#pembiayaan kempen politik