Surat terbuka bantah Kennedy Jr ketuai agensi kesihatan AS

Astro Awani
Disember 11, 2024 08:15 MYT
Trump memilih Kennedy untuk mengawasi bahagian cabang eksekutif yang bertanggungjawab terhadap kesihatan dan perubatan. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Sejumlah 77 pemenang hadiah Nobel menghantar surat terbuka kepada Senat Amerika Syarikat (AS) bagi membantah pencalonan Robert F. Kennedy Jr untuk jawatan Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (DHHS).
Dalam surat yang dihantar pada Selasa, kesemua mereka menyifatkan calon pilihan Donald Trump kurang kelayakan untuk jawatan itu, selain terpalit dengan pendirian antivaksin.
Antara lain, surat yang ditandatangani 77 penerima Nobel dalam bidang perubatan, kimia, fizik dan ekonomi, ia mengaitkan rekodnya yang didakwa meletakkan Kennedy untuk memimpin
DHHS akan membahayakan kesihatan awam.
Antara yang menandatangani surat itu adalah penerima hadiah Nobel perubatan 2023, Drew Weissman, yang berperanan membangunkan vaksin mRNA, satu pencapaian besar dalam memerangi COVID-19.
Kennedy, anak saudara kepada bekas Presiden John F. Kennedy Jr, membuat percubaan untuk bertanding sebagai calon Presiden pada awal tahun ini, sebelum memberikan sokongannya kepada Trump, yang menang pemilihan pada November lalu.
Sebagai balasan, Trump memilih Kennedy untuk mengawasi bahagian cabang eksekutif yang bertanggungjawab terhadap kesihatan dan perubatan, walaupun pencalonannya perlu mendapat kelulusan daripada majoriti Senat seperti dinyatakan oleh perlembagaan.
Kennedy, seorang peguam alam sekitar tanpa latar belakang perubatan, menghabiskan masa bertahun-tahun menyebarkan teori konspirasi mengaitkan vaksin dengan autisme, termasuk maklumat palsu mengenai vaksin COVID-19.
Selain daripada kurang kelayakan atau pengalaman dalam bidang perubatan, sains, kesihatan awam atau pentadbiran, Kennedy juga penentang banyak vaksin yang melindungi kesihatan dan menyelamatkan nyawa seperti campak serta polio.
Kennedy bukan satu-satunya calon Kabinet Trump yang mencetuskan kontroversi.
Penyiar Fox News, Pete Hegseth antara yang paling ketara dibantah untuk mengetuai Jabatan Pertahanan, akibat dakwaan serangan seksual dan khabar angin mengenai tabiat minum arak berlebihan.
#surat terbuka #Pemenang Hadiah Nobel #Robert F Kennedy Jr #Setiausaha DHHS
;