Sunak ikrar kurangkan separuh inflasi, tangani imigrasi

Astro Awani
Januari 5, 2023 09:45 MYT
Rishi Sunak ketika ucapan utama pertamanya pada 2023. - Foto AP
LONDON: Perdana Menteri Britain Rishi Sunak, dalam ucapan utama pertamanya pada 2023 berjanji untuk mengurangkan inflasi, mengembangkan ekonomi United Kingdom (UK) dan menghentikan kehadiran pendatang asing tanpa izin.
Antara lain, pemimpin konservartif itu memberi tumpuan untuk menangani ekonomi UK yang semakin perlahan selain berjanji mengurangkan hutang negara.
Sunak turut berikrar untuk meluluskan undang-undang baru menghalang pendatang daripada tiba di pantai UK dengan bot kecil, serta mengurangkan tunggakan besar-besaran dalam perkhidmatan kesihatan awam Britain.
"Kita akan mengurangkan separuh inflasi, kembangkan ekonomi, kurangkan hutang, potong senarai menunggu, dan hentikan bot. Itu adalah keutamaan rakyat. Mereka adalah keutamaan kerajaan.
"Kami akan membina semula kepercayaan dalam politik melalui tindakan, atau tidak sama sekali. Jadi saya minta anda menilai atas usaha yang kami lakukan dan hasil yang kami capai," katanya.
Sejak Sunak menggantikan Lizz Truss pada akhir Oktober, ekonomi UK tumbuh perlahan-lahan dengan baik tetapi masih menghadapi krisis kos sara hidup dan pergolakan buruh yang semakin meluas.
Inflasi di UK berada pada 10.7 peratus pada bulan November, turun sedikit daripada Oktober tetapi ia masih menghampiri paras tertinggi dalam empat dekad.
Kos tenaga dan makanan telah melonjak, sebahagian besarnya didorong oleh perang Rusia ke atas Ukraine, dan taraf hidup telah menjunam jutaan rakyat Britain.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kerajaan Sunak juga mengalami tekanan yang semakin meningkat untuk menangani kegagalan dalam sistem kesihatan awam, dengan banyak tajuk utama muka depan akhbar tempatan memfokuskan pada kekurangan katil hospital dan rekod masa menunggu yang diperlukan untuk berjumpa doktor atau mendapatkan ambulans.
Pihak berkuasa telah menyalahkan jumlah kes selesema dan COVID-19 yang tinggi, tetapi ketua kesihatan berkata masalah itu sudah lama berlarutan dan akibat kekurangan dana kerajaan yang kronik.
#Rishi Sunak #kurangkan inflasi #kembangkan ekonomi #kehadiran pendatang haram
;