Sukarnya mahu damai di selatan Thailand

Dr Azlinariah Abdullah
Januari 8, 2020 08:15 MYT
Pada masa ini, usaha untuk mengembalikan kedamaian mutlak di selatan Thailand tidak digerakkan semula walaupun Malaysia masih kekal menjadi perantara menamatkan konflik di tiga wilayah bergolak. - Astro AWANI
Kenapa tiga wilayah di selatan Thailand - Narathiwat, Yala dan Pattani - masih belum aman lagi?
Tahun berganti, dekad baharu masuk kalendar, tetapi damai yang dicari belum ditemui, sebaliknya nyawa manusia penghuni tiga wilayah itu terus menambah angka.
Dalam kebingungan mencari jawapan sebenar kepada permasalahan yang sukar, pandangan tokoh akademik yang datang daripada salah sebuah wilayah bergolak di selatan Thailand, wajar diambil kira.
Kata Pensyarah Pengajian Melayu, Fakulti Kemanusiaan, Universiti Prince Songkhla, Pattani, penolong profesor Dr Faisol Awang, punca utama damai di tiga wilayah bergolak di selatan Thailand sukar dicapai adalah kerana tidak wujud ruang mendapatkan titik persefahaman bagi keamanan mutlak.
Malah katanya, ia seringkali tersangkut di tengah jalan disebabkan pihak yang bertanggungjawab dengan usaha damai saling tidak memahami akar sebenar permasalahan yang membawa kepada kegagalan itu.
"Terdapat situasi di mana, kedua-dua pihak yang sedang berbincang untuk damai tidak mengetahui apa mereka sedang usahakan.
"Akibatnya, damai yang dimahukan mungkin hanya tinggal angan-angan," ujar beliau semasa ditemui Astro AWANI di sini.
Faisol berkata, ia diburukkan pula dengan rasa curiga di antara satu sama lain, dan masing-masing menganggap terdapat agenda tersembunyi bakal dijayakan, baik di pihak kerajaan mahu pun peserta rundingan.
"Apabila rasa curiga dan mencurigai ini wujud, itu yang bahaya. Akhirnya rundingan damai yang diusahakan tidak akan ke mana-mana,'' tambah beliau.
Menurut Faisol, di sebalik damai yang dimahukan masih samar-samar walaupun sudah memasuki dekad baharu, majoriti penduduk minoriti Muslim di Yala, Narathiwat dan Pattani tetap berharap ada nya sebarang prospek ke arah itu.
"Kita perlu terus berharap, walaupun sudah letih menunggu. Ini kerana harapan itu yang membuatkan kita terus hidup,'' tegas beliau.
Sementara itu, pandangan yang sama turut disuarakan seorang aktivis muda.
Presiden Peaceful of Southern Boundary Organisation (PASBO) Sulaiman Chealae melihat usaha damai tiga wilayah selatan Thailand tidak akan ke mana-mana jika barisan yang mengusahakannya merupakan generasi terdahulu.
"Kedua-dua pihak yang berunding untuk merintis damai di Narathiwat, Yala dan Pattani merupakan generasi lama, sedangkan mereka yang akan mendapat manfaat daripadanya ialah golongan pelapis terdiri daripada kalangan anak muda,'' ujar beliau.
Justeru, Sulaiman melihat, menukar generasi menjadi satu-satunya cara yang boleh difikirkan jika semua pihak mahukan keamanan mutlak dicapai di selatan Thailand.
Putaran keganasan tanpa henti yang berlaku di selatan Thailand sejak lebih 16 tahun lalu sehingga sekarang membingungkan banyak pihak, khususnya berkaitan punca sebenar dan faktor penyumbang.
Ada yang mengaitkannya dengan rasa tidak puas hati minoriti Muslim terhadap pemerintah, majoritinya terdiri daripada yang beragama Buddha.
Tidak kurang, ada pihak menyifatkannya ia berpunca daripada tindakan pihak pemerintah berpusat di Bangkok, cuba menghapuskan identiti kemelayuan yang diamalkan sejak sekian lama dalam kalangan majoriti penduduk di tiga wilayah di selatan negara Gajah Putih itu.
Pada masa ini, usaha untuk mengembalikan kedamaian mutlak di selatan Thailand tidak digerakkan semula walaupun Malaysia masih kekal menjadi perantara menamatkan konflik di tiga wilayah bergolak.
Badan pemikir Thailand, Deep South Watch, menganggarkan sejak 2004, ketika mana pemisah bersenjata mula memberontak menentang kerajaan, kira-kira 7,000 nyawa melayang, kebanyakannya orang awam.
Malaysia menjadi fasilitator usaha damai bagi menamatkan pemberontak di tiga wilayah bergolak dengan terbaharu, bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor optimis ia boleh dihidupkan semula dengan syarat kedua-dua pihak komited ke arah itu.
#akademik #Faisol Awang #keganasan #kerajaan #Narathiwat #Pattani #polis #Thailand #tiga wilayah #titik persefahaman #Universiti Prince Songkhla #wilayah bergolak #yala
;