Sukarelawan perubatan Indonesia di Gaza sedia berpindah
Bernama
November 22, 2023 23:07 MYT
November 22, 2023 23:07 MYT
JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia pada Rabu mengumumkan tiga rakyatnya di Hospital Indonesia di Gaza Utara sedang membuat persiapan untuk berpindah ke selatan Gaza.
Jurucakap kementerian itu berkata sumber mereka di Gaza memaklumkan tiga individu itu, yang merupakan sukarelawan Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan berada dalam keadaan baik.
"Mereka sedang bersiap sedia untuk berpindah ke selatan Gaza dan kami akan terus memantau keadaan mereka," kata Lalu Muhammad Iqbal dalam satu kenyataan.
Pada Isnin, kementerian melaporkan terputus hubungan dengan tiga rakyat yang memilih untuk kekal di Hospital Indonesia di utara Gaza selepas tentera penceroboh Israel mengebom hospital berkenaan.
-- BERNAMA