Sukarelawan APM bantu Basarnas cari mayat mangsa di kota Palu
Bernama
Oktober 17, 2018 05:03 MYT
Oktober 17, 2018 05:03 MYT
Anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada Rabu berganding bahu dengan pasukan penyelamat tempatan Indonesia, Badan SAR Nasional (Basarnas) meningkatkan operasi mencari mayat mangsa gempa bumi dan tsunami yang tertimbus di kota ini.
Penolong Pesuruhjaya (Pertahanan Awam) Abdul Wahab Rahim berkata bagi memudahkan membantu operasi di lapangan, APM telah diberi kelulusan untuk mengakses kawasan-kawasan bencana.
"Hari ini dengan kekuatan lapan anggota, kita telah turun membantu operasi Basarnas untuk mengeluarkan mayat seorang wanita yang tertimbus separuh badan di perkampungan di Petobo.
"Operasi akan bersambung esok. Apa pun kita akan terus membantu Basarnas dalam operasi lain di sekitar Kota Palu selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di tapak operasi di sini.
Abdul Wahab berkata kerjasama yang dijalin bukan sahaja membantu pihak Basarnas malah memberi pendedahan dan pengalaman kepada APM mengenai pengurusan bencana.
Anggota sukarelawan APM tiba di Kota Palu pada Ahad lepas bersama misi kemanusiaan kali kedua Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Sementara itu, Koordinator Lapangan Basarnas, Azwar berkata, walaupun kerajaan Indonesia telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun proses mengeluarkan mayat di kawasan tragedi tetap perlu dilakukan khususnya jika menerima maklumat daripada penduduk.
"Hari ini kita menerima laporan penduduk di Petobo telah menemui satu mayat yang mana badannya separuh tertimbus di dalam tanah, jadi kita (Basarnas) dengan kekuatan 10 anggota terus melancarkan operasi dibantu sukarelawan APM," katanya.
Azwar turut menghargai dan berterima kasih kepada anggota sukarelawan APM kerana sudi membantu dalam operasi itu.
Gempa bumi 7.7 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Palu, 28 September lalu setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan.
-- BERNAMA
#Abdul Wahab Rahim
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
#APM
#Badan SAR Nasional
#Basarnas
#bencana
#gempa bumi
#Indonesia
#kerjasama
#mangsa
#mayat
#operasi
#Palu
#SAR
#sukarelawan
#tsunami