Sukar untuk 'tewaskan' COVID-19 tahun ini - WHO
Agensi
Mac 2, 2021 14:33 MYT
Mac 2, 2021 14:33 MYT
GENEVA: Meskipun angka pesakit COVID-19 di beberapa negara dilihat semakin berkurangan berikutan pemberian suntikan vaksin dan perintah berkurung, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa adalah sesuatu yang 'pramatang' atau tidak realistik untuk membuat tanggapan kononnya pandemik itu boleh 'ditewaskan' sepenuhnya akhir tahun ini.
Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Michael Ryan berkata, pemberian suntikan vaksin kepada golongan rentan termasuk kakitangan kesihatan adalah untuk membantu menghilangkan rasa takut dan mengurangkan tekanan di hospital.
"Adalah sesuatu yang tidak realistik atau terlalu awal untuk beranggapan pandemik itu akan tamat pada penghujung tahun 2021.
"Jika vaksin mula memberi impak bukan sahaja kepada angka kematian atau rawatan di hospital, tetapi juga memberi impak signifikan kepada risiko penularan, maka saya percaya kita dapat mengawal pandemik ini dengan lebih cepat," katanya dalam taklimat media.
Angka penularan global COVID-19 buat pertama kalinya dalam tempoh dua bulan merekodkan peningkatan.
Antara wilayah WHO yang menyaksikan peningkatan itu adalah Amerika Syarikat (AS), Eropah, Asia Tenggara dan Mediterranean Timur.
Meskipun kecewa dengan peningkatan itu, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, perkembangan itu tidak mengejutkan.
Beliau memaklumkan yang WHO sedang berusaha untuk memahami mengenai peningkatan angka transmisi ini.
"Sebahagiannya disebabkan oleh pelonggaran langkah kesihatan awam, peredaran varian yang berlanjutan dan individu yang mengabaikan aspek penjagaan dan langkah kesihatan.
"Vaksin akan membantu menyelamatkan nyawa, tetapi jika negara hanya bergantung kepada vaksin, ia adalah salah, langkah asas kesihatan awam tetap menjadi asas untuk melawan virus itu," katanya.
Sebanyak 11 juta dos vaksin akan dihantar ke negara peserta minggu ini melalui program Covax dengan 237 juta dos akan diperuntukkan kepada 142 negara sehingga akhir Mei ini
#COVID-19
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#perintah berkurung
#Michael Ryan
#Amerika Syarikat
#vaksin
#WHO