Suhu Sydney diramal cecah 40 darjah Celsius, paling panas dalam tempoh dua tahun
Astro Awani
Mac 6, 2023 10:15 MYT
Mac 6, 2023 10:15 MYT
BEBERAPA bahagian timur Australia, termasuk Sydney, bersiap sedia untuk berdepan hari paling panas dalam tempoh dua tahun hari ini, dengan suhu diramal mencecah sekitar 40 darjah Celsius.
Situasi tersebut, menurut laporan Reuters, turut dijangka meningkatkan risiko kes kebakaran hutan.
Menurut pegawai operasi di Perkhidmatan Bomba Luar Bandar New South Wales, Angela Burford, sekitar 34 kebakaran sudah marak di seluruh negeri dengan empat daripadanya masih belum dapat dikawal.
Manakala, 33 sekolah awam, kebanyakannya di kawasan pedalaman, sudah ditutup sebelum cuaca panas yang teruk itu.
"Sekiranya kebakaran bermula, ia akan menyukarkan anggota bomba untuk memadamkan kebakaran kerana api boleh merebak dengan cepat, terutama di padang rumput," katanya kepada Australian Broadcasting Corp.
Jumlah larangan kebakaran kini dilaksanakan untuk kebanyakan wilayah di New South Wales, yang mempunyai populasi satu pertiga daripada keseluruhan warga Australia, selain pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran bahaya tahap tinggi hingga melampau.
Dalam pada itu, Biro Meteorologi memaklumkan keadaan panas dan kering berkemungkinan berterusan sehingga Rabu.
Pantai timur Australia sebelum ini didominasi oleh fenomena cuaca La Nina, yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan hujan, dan sejak dua tahun lalu ia membawa rekod hujan dan banjir yang tinggi.
Pada 2022, Sydney mencatatkan hujan tahunan tertinggi sejak 1858.
Minggu lalu, biro cuaca itu berkata, model iklimnya mencadangkan bahawa La Nina 'kemungkinan hampir ke penghujungnya' dan keadaan neutral yang bukan La Nina, atau El Nino yang bertentangan, mungkin akan berlaku menerusi musim luruh hemisfera selatan.