Suhu cecah 50 darjah Celsius di Arab Saudi hujung minggu ini

Agensi
Ogos 1, 2023 00:05 MYT
Penduduk Jeddah, Yasmin Hayat memberitahu meskipun dia sedang berada di dalam kereta berhawa dingin, cuaca panas itu masih boleh dirasai.- REUTERS/ Ahmed Yosri
JEDDAH: Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi (NCM) meramalkan suhu tinggi antara 46 hingga 50 darjah Celsius melanda negara itu sehingga hujung minggu ini.
Memetik Gulf News, NCM melaporkan suhu di bandar Dammam kini mencecah 50 darjah Celsius namun laporan Al-Ahsa memaklumkan suhu mencecah 49 darjah Celsius.
Seorang penduduk Jeddah, Yasmin Hayat memberitahu, meskipun dia sedang berada di dalam kereta berhawa dingin, cuaca panas itu masih boleh dirasai.
“Saya terbaca di suatu tempat bahawa 'kita sudah melepasi tahap pemanasan global dan ia kini mendidih' dan itulah hakikatnya.
“Anda benar-benar dapat merasainya. Saya tidak tahu sama ada pernah sepanas ini,” katanya kepada The National.
Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan dunia kini memasuki era 'pendidihan global', istilah yang digunakan membuktikan keseriusan perubahan iklim dan implikasinya.
Dalam masa sama, Institut Perubahan Iklim melaporkan bulan Julai akan menjadi bulan paling panas direkodkan.
Menurut seorang lagi penduduk Jeddah, Yasser Abbas, panas di negara itu membuatkan dia lebih cepat keletihan.
“Panas memang memenatkan. Anda keluar untuk menjalankan tugas atau pekerjaan biasa, tetapi anda kembali 100 kali lebih letih kerana panas,” katanya.
Dalam masa sama, ribut pasir dijangka melanda di Makkah sekali gus akan mengehadkan jarak penglihatan.
Sebagai maklum balas kepada cuaca panas, pihak berkuasa Saudi melarang pekerja buruh bekerja di bawah matahari antara waktu tengah hari sehingga 3 petang.
Sementara itu, NCM meramalkan suhu antara 46 hingga 48 darjah Celsius dijangka melanda wilayah timur dan selatan Riyadh.
#cuaca panas #Arab Saudi #Jeddah #Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi
;