Sudan: Semakin ramai orang awam meninggalkan Darfur - PBB

Bernama
September 19, 2023 12:51 MYT
PBB berkata, lebih 5.1 juta orang telah meninggalkan rumah mereka sejak pertengahan April apabila pertempuran di Sudan meletus. - Gambar/ Reuters
NEW YORK: Pertempuran baharu di Darfur Selatan di Sudan, terutama di bandar Nyalamendorong, mendorong semakin ramai penduduk awam melarikan diri, lapor Xinhua memetik pakar kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.
Pejabat PBB untuk Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) yang memetik angkanya sendiri dan rakan kemanusiaannya, berkata lebih 5.1 juta orang telah meninggalkan rumah mereka sejak pertengahan April apabila pertempuran di Sudan meletus. Daripada jumlah itu, lebih 1 juta orang terpaksa mencari perlindungan di luar negara.
"Keluarga yang baru berpindah itu tiba di kawasan yang sudah pun terdedah kepada cabaran akibat krisis sedia ada, dengan perkhidmatan asas sudah digunakan secara berlebihan," kata OCHA.
"Menurut rakan kongsi kami, sejak permulaan konflik semasa, sekurang-kurangnya 435 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dan 500 lagi maut akibat kelaparan, walaupun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi," kata OCHA.
Pejabat kemanusiaan juga berkata hujan lebat dan banjir sejak Julai yang menjejaskan lebih 80,000 orang dan merosakkan 12,000 rumah, berterusan di seluruh negara.
OCHA berkata rakan kongsi kemanusiaan meningkatkan usaha dan terus membantu mangsa yang sangat memerlukan walaupun kekurangan pembiayaan, dengan sekurang-kurangnya 3.5 juta menerima bantuan sejak April.
Pada Rabu, satu acara akan berlangsung di luar Perhimpunan Agung PBB bagi menggerakkan sumber dan menunjukkan sokongan kepada rakyat Sudan, menurut OCHA.
Pejabat itu berkata Pelan Tindak Balas Kemanusiaan Sudan yang bernilai AS$2.6 bilion, hanya dibiayai 25 peratus. Matlamatnya adalah untuk membantu 18 juta orang.
-- BERNAMA
#konflik Sudan #angka kematian #pertempuran baharu #Darfur
;