Sudan Selatan tubuhkan pasukan khas pastikan pengeluaran minyak tidak terjejas

Bernama
April 21, 2023 15:53 MYT
Sudan Selatan bergantung kepada aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak untuk menampung ekonominya. - Fail/REUTERS
JUBA (Sudan Selatan): Sudan Selatan menubuhkan pasukan tindak pantas kecemasan (ERT) dengan kerjasama firma pengeluar minyak untuk memastikan pengeluaran minyak tidak terganggu ekoran konflik di Sudan sejak minggu lalu.
Menteri Petroleum Puot Kang Chol berkata ERT akan melaksanakan pelan kontigensi yang distrukturkan rapi bagi mengatasi masalah logistik, pengangkutan serta menyusun semula laluan untuk semua bahan dan peralatan kritikal dari Pelabuhan Sudan ke telaga minyak di Sudan Selatan.
"Inventori semasa semua bahan, peralatan, kimia dan peranti untuk kerja-kerja di lapangan masih mencukupi bagi memastikan pengeluaran dan aktiviti eksport minyak mentah untuk tiga bulan akan datang.
"Pasukan yang ditubuhkan berusaha keras bersama semua pihak berkepentingan serta rakan kongsi mereka di Sudan bagi memastikan pengeluaran berterusan minyak mentah di Sudan Selatan meskipun berlaku pertempuran," kata Kang pada sidang akhbar di Juba, Selatan Sudan, lapor Xinhua.
Beliau berkata semua kemudahan telaga minyak seperti salauran paip, rumah pam, loji dan kemudahan penapisan minyak serta terminal eksport marin di Sudan dilindungi dengan ketat serta terselamat daripada sebarang kerosakan.
"Kemudahan ini masih terus mengeluar dan mengeksport pada kadar purata 169,140.81 tong minyak mentah sehari daripada semua telaga minyak di Sudan Selatan," katanya.
Kang berkata, ERT juga sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan semua pihak berkuasa di Pelabuhan Mombasa di Kenya dan Pelabuhan Djibouti di Djibouti untuk memastikan urusan logistik yang lancar serta pantas jika ada kargo penting untuk telaga minyak Sudan Selatan, tiba di dua pelabuhan itu.
Sudan Selatan bergantung kepada aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak untuk menampung ekonominya. Krisis meletus di Sudan akibat pertelagahan antara Tentera Sudan dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), akibat cadangan penggabungan dua angkatan bersenjata itu.
Hampir 300 orang terbunuh dan lebih 3,000 lagi cedera sejak keganasan meletus pada 15 April lalu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
-- BERNAMA
#Krisis Sudan #pengeluar minyak #sudan selatan #pasukan tindak pantas kecemasan
;