Sudan lanjutkan penutupan ruang udara sehingga 30 April

Bernama
April 23, 2023 10:57 MYT
Imej satelite menunjukkan sebuah pesawat yang musnah di Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum, 17 April 2023. - Gambar fail AP
KAHERAH: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan melanjutkan penutupan ruang udara negara itu sehingga 30 April, menurut kenyataan Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum pada Sabtu, lapor Sputnik.
"Pihak Berkuasa Penerbangan Awam telah mengeluarkan notis kepada juruterbang untuk melanjutkan penutupan ruang udara Sudan sehingga 30 April," menurut kenyataan itu.
Angkatan Tentera Sudan akan mengambil tindakan jika ada pihak yang melanggar arahan itu.
Sudan dilanda konflik selepas pertempuran ganas tercetus antara Angkatan Tentera Sudan dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 15 April lalu.
Tentera kerajaan menuduh RSF sebagai pemberontak dan melancarkan serangan udara terhadap pangkalan mereka. Ketua tentera Sudan Abdel Fattah Burhan mengeluarkan dekri membubarkan RSF.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk gencatan senjata selama tiga hari bermula Jumaat sempena perayaan Aidilfitri.
Pada Khamis, Kementerian Kesihatan Sudan memaklumkan bahawa jumlah korban akibat konflik itu sudah mencecah seramai 600 orang. Sementara itu, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang dikeluarkan pada Jumaat, seramai 413 penduduk Sudan terbunuh manakala 3,551 yang lain cedera.
-- BERNAMA
#tutup ruang udara #Sudan #Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum #RSF
;