Sudan isytihar Ketua UNITAMS sebagai 'persona non grata'
Bernama
Jun 9, 2023 18:41 MYT
Jun 9, 2023 18:41 MYT
KHARTOUM (Sudan): Sudan telah mengisytiharkan ketua misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara itu sebagai "persona non grata", menurut Kementerian Luar Sudan.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres telah dimaklumkan mengenai keputusan untuk mengisytiharkan Ketua Misi Bantuan Peralihan Bersepadu PBB di Sudan (UNITAMS), Volker Perthes, sebagai "persona non grata", lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian.
Menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Guterres akhir bulan lalu, Ketua Tentera Sudan Abdel Fattah al-Burhan menuduh Perthes mencetuskan konflik dan menggesa beliau dipecat.
Bagaimanapun, Guterres menyatakan "percaya sepenuhnya" terhadap Perthe.
Pada Jun 2020, Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan resolusi menubuhkan UNITAMS, sebagai memenuhi permintaan Khartoum pada masa itu.
Negara Afrika yang dilanda konflik itu, diselubungi keganasan selama berminggu-minggu, membabitkan pertikaian antara Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces.
-- BERNAMA